NEW YORK: Firma teknologi utama Amerika Syarikat (AS), Amazon, menyekat hampir 2,000 permohonan kerja daripada individu yang disyaki berkait dengan Korea Utara dan disokong oleh Kim Jong-Un.
Ketua pegawai keselamatan Amazon, Stephen Schmidt, mendedahkan warga Korea Utara cuba memasuki syarikat itu dengan memohon pekerjaan IT secara jarak jauh menggunakan identiti palsu atau dicuri.
Beliau berkata, tindakan itu bukan khusus untuk Amazon, tetapi kemungkinan berlaku secara meluas dalam industri teknologi.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, warga Korea Utara cuba mendapatkan pekerjaan IT jarak jauh dengan syarikat di seluruh dunia, terutama di AS.
“Objektif mereka biasanya muda, diambil bekerja, dibayar dan menyalurkan gaji kembali untuk membiayai program senjata.
“Di Amazon, kami menghalang lebih 1,800 individu disyaki warga Korea Utara sejak April 2024, dan permohonan berkaitan meningkat 27 peratus setiap suku tahun,” katanya dalam hantaran di LinkedIn.
Amazon berjaya mengesan perkara itu menggunakan penyaringan berkuasa kecerdasan buatan (AI) dengan pengesahan manusia.
Perisian mereka menganalisis hubungan dengan hampir 200 institusi berisiko tinggi, anomali merentasi aplikasi dan ketidakselarasan geografi.
Schmidt berkata, Korea Utara kini menyasarkan LinkedIn, dengan mengambil alih akaun yang tidak aktif melalui kelayakan yang dikompromi untuk mendapatkan pengesahan.
Amazon mendakwa, mereka juga menemukan rangkaian di mana individu menyerahkan akses akaun mereka untuk mendapatkan bayaran.
Julai lalu, seorang wanita dari Arizona dijatuhkan hukuman penjara lebih lapan tahun kerana membantu pekerja IT Korea Utara untuk mendapatkan pekerjaan jarak jauh di lebih 300 syarikat AS, menurut BBC.
“Jika anda bimbang tentang ancaman dalam organisasi, periksa pangkalan data untuk petunjuk biasa, seperti corak dalam resume.
“Jika anda mengenal pasti pekerja IT yang disyaki dari Korea Utara, laporkan kepada FBI atau pihak berkuasa tempatan,” katanya.










