KLANG: Kesemua baki 19 pemilik tanah dan penduduk Kampung Jawa, di sini akur dengan arahan pengosongan dan berpindah keluar sejak tarikh akhir tempoh diberikan sehingga 24 November lalu.
Pemindahan tersebut memberi laluan kepada sambungan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di atas jajaran 150 meter pada Seksyen 3 projek berkenaan yang menghubungkan susur Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dengan Lebuhraya Persekutuan di Sungai Rasau, di sini.
Projek tersebut akhirnya boleh diteruskan apabila kerja-kerja pembersihan tanah berkeluasan kira-kira 0.8 hektar dimulakan hari ini selepas ia tertangguh hampir dua tahun akibat pertikaian penduduk terhadap pampasan yang ditawarkan.
Seorang penduduk, V. Saravanan, 60, dan isteri, S. Parimala Devi, 59, berkata, dia kini tinggal sementara di rumah sewa di Taman Sentosa sementara menunggu kelulusan permohonan Skim Smart Sewa yang ditawar oleh kerajaan negeri.
“Kami sudah mohon rumah Skim Smart Sewa cuma masih belum dapat lagi. Saya harap dapat dipercepatkan sebab bayaran sewa rumah sementara terlalu tinggi sehingga RM1,700.
“Saya tiada pendapatan tetap, bekerja sebagai pelelong berlesen bergantung kepada jualan. Lagi pun umur dah 60, isteri pula 59 tahun. Tiada pekerjaan lain yang kami boleh buat. Berbanding rumah lama, tiada bayaran lagi kerana itu rumah kami sendiri,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kesemua 19 unit rumah yang berdepan perintah pemindahan sehingga 24 November lalu sudah pun kosong dan rata-rata penduduk tinggal sementara di kawasan berdekatan sementara menanti rumah Skim Smart Sewa.
Kerja-kerja perobohan itu dilakukan bermula pukul 8 pagi dengan kehadiran lebih 100 pegawai dan anggota polis termasuk Pasukan Penggempur Ringan (LSF) dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi mengawal keselamatan.
Selain itu, agensi lain turut hadir seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Penguatkuasa Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dan agensi-agensi berkaitan lain.
Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan ketika proses perobohan berikutan penduduk di salah sebuah unit kediaman mendakwa masih terdapat barang yang belum dibawa keluar dari rumahnya, namun ia kemudian dapat diselesaikan.
Sementara itu, seorang penduduk yang juga penternak lembu dan kambing, Hemane Kumar, 53, memohon tempoh sehingga seminggu lagi bagi dia memindahkan ternakannya ke kawasan baharu yang terletak bersebelahan tapak asal.’
“Saya sedang bina tapak baharu, masih belum siap dan memerlukan masa seminggu lagi untuk siapkan kandang baharu dan pindahkan 75 ternakan kambing dan lembu.
“Saya memang berharap ia dapat disiapkan segera supaya dapat pindah lebih awal supaya dapat penuhi permintaan terhadap bekalan tenusu setiap hari,” ujarnya.
Awal November lalu, Utusan Malaysia melaporkan 19 pemilik tanah di sepanjang 150 meter jajaran Seksyen 3 Lebuhraya WCE itu diberi notis selama tujuh hari sehingga hari ini untuk mengosongkan rumah masing-masing.
Pengosongan itu dibuat dan ia dianggap muktamad mengikut keputusan yang pernah dicapai dahulu dengan jumlah pampasan yang sudah diserahkan sebanyak RM9.8 juta.
Untuk rekod, jajaran seksyen 3 lebuh raya tersebut dijangka siap dibina pada akhir tahun depan dan dibuka laluannya kepada awam seawal 2027. – UTUSAN










