KOTA KINABALU: Saksi kanak-kanak ke-29 yang juga rakan satu dorm kepada pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir pernah memberitahunya bahawa dia hampir dibunuh oleh bapa kandungnya sendiri sewaktu kecil.
Menurut saksi itu yang juga pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina juga pernah mengadu kepadanya mengenai masalah keluarga kepada rakan dorm A3-5 itu.
“Zara (panggilan saksi kepada Zara Qairana) pernah mengadu kepada saya mengenai masalah keluarga Zara sendiri. Saya pernah diberitahu oleh Zara bahawa ibu Zara pernah cerita kepada Zara bahawa Zara hampir dibunuh oleh bapa kandung sendiri masa Zara kecil,”ujar saksi itu.
Selain itu, saksi itu memberitahu Zara Qairina tidak pernah bercerita tentang rasa takut, sedih atau menyendiri kepadanya mahupun mengadu dibuli, mengalami tekanan atau keletihan.
Bagaimanapun, saksi inkues ke-38 itu berkata, beberapa hari sebelum Zara Qairina ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri, remaja terbabit sering kelihatan termenung, murung dan menyendiri.
Terdahulu, saksi itu memberitahu, dia merupakan individu yang mencadangkan agar loker Zara Qairina digeledah selepas Zara Qairina disyaki mencuri pada malam 15 Julai lalu.
Katanya dia mencadangkan sebegitu kerana ingin membantu dua penghuni dorm berkenaan yang mengadu kehilangan kad bank, dompet dan kad pengenalan.
Selepas membuat pemeriksaan tersebut, saksi memberitahu dia mengambil baju dan menuju ke bilik seterika dan ketika melintasi Dorm A3-6, dia ada melihat Zara Qairina duduk bersila di lantai dorm berkenaan sambil dikelilingi oleh beberapa orang senior.
Pada ketika itu, dia tidak mendengar mendengar suara marah-marah atau teriak. Selepas selesai menggosok pakaian, saksi kembali ke dormnya dan mendapati Zara Qairina sedang menangis sabil terbaring di tepi loker sebelum menjerit “aku nda curi bah, sial.“
Saksi kemudian melihat Zara Qairana masuk ke tandas di aras tiga itu. Selepas tengah malam dan Zara Qairina masih belum pulang dari tandas, saksi itu kemudian ke tandas untuk mencari rakannya itu menunggu. Pada ketika itu di tandas, terdapat dua penghuni sedang menadah air.
Semasa sedang mengisi air di dalam baldi, saksi memberitahu dia terdengar bunyi mangkuk tandas dipijak dari bilik tandas pertama sebelum terlihat separuh muka Zara Qairina di atas dinding tandas seolah-olah mengintai kami.
Disebabkan terkejut, saksi dan dua lagi penghuni yang sedang mengisi air keluar dari tandas tersebut buat beberapa ketika sebelum masuk semula.
Ketika itu, mereka masih melihat kepala dan muka Zara masih lagi berada di atas dinding tandas menyebabkan mereka lari ke dorm masing-masing akibat ketakutan.
Selepas terjaga dari tidur pada pukul 4.30 pagi, ketika hendak mansi, seorang penghuni memberitahu saksi berkenaan bahawa Zara Qairina telah dibawa ke hospital kerana kakinya patah.
Tidak lama selepas itu, ketika hendak solat Subuh, seorang lagi pelajar yang dikenali sebagai Pelajar A, memberitahu saksi itu bahawa ‘Zara jatuh dari atas’.
Pelajar A merupakan salah seorang daripada lima remaja yang didakwa mengeluarkan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Identiti kelima-lima remaja dan kesemua saksi kanak-kanak dirahsiakan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang mana-mana pihak mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding undang-undang termasuk nama, alamat, dan gambar, melalui mana-mana media massa untuk melindungi privasi mereka.
Larangan ini memastikan kerahsiaan kanak-kanak sama ada sebagai tertuduh, mangsa, atau saksi dan individu boleh dikenakan tindakan sekiranya larangan itu tidak dipatuhi.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina yang didengar oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok. – UTUSAN










