GUA MUSANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas terkena serangan jantung semasa menarik lembu peliharaannya naik ke tebing Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Mohamad Taibi Wook, 60, yang berada di atas perahu di kawasan bawah jambatan dikatakan tiba-tiba rebah selepas menarik lembu naik ke atas tebing.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, beberapa orang penduduk kampung melihat mangsa sedang menarik lembu untuk naik ke tebing.
Katanya, warga emas itu dipercayai berada dalam keadaan lemah selepas menarik lembu itu sebelum jatuh tersungkur ke dalam perahu yang dinaikinya.
“Beberapa orang penduduk membantu mengangkat mangsa naik ke atas tebing sungai dan membawanya ke Klinik Kesihatan Jeram Tekoh. Pegawai perubatan yang bertugas di klinik itu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas mayat mangsa tidak menjumpai sebarang kesan luka atau lebam pada badannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Gua Musang di sini dan hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada penyakit jantung iskemik.
Katanya, mengikut maklumat isterinya, mangsa mempunyai penyakit jantung tersumbat sejak 2021 dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-UTUSAN










