PETALING JAYA : Seorang warga emas maut selepas digilis lori sampah dalam kejadian di Jalan Ipoh, ibu negara hari ini.
Mangsa berusia 79 tahun maut akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada pukul 11.13 pagi ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Jalan Ipoh.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah sama sedang membelok ke kiri menuju ke arah Jalan PPR Kampung Batu dekat sini.
“Pada masa yang sama, motosikal mangsa yang datang dari arah Jalan Kampung Batu sedang membelok ke kanan menyebabkan berlakunya pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelanggaran menyebabkan warga emas berkenaan terjatuh lalu digilis oleh tayar belakang lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 51 tahun.
Katanya, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak cedera. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN.










