TANAH MERAH: Seorang wanita warga emas menjadi korban kedua banjir di negeri ini apabila ditemukan lemas selepas kereta yang dinaiki di hanyut arus deras dan tersangkut pada pembetung dalam kejadian di Kampung Batu Lima, Jalan Jedok di sini awal pagi tadi.
Bagaimanapun seorang lagi wanita yang berada dalam kereta jenis Proton Saga FLX itu terselamat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Komander Pegawai Bomba Kanan II Azhari Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.13 pagi
Katanya, setiba di lokasi anggota bertugas mendapati kereta tersebut telah tersangkut pada pembentung.
“Pemeriksaan mendapati mangsa yang berada di dalam kereta tersebut telah selamat sementara seorang lagi hilang.
“Warga emas itu kemudian telah ditemukan pada pukul 7.49 pagi oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.
Azhari memberitahu, mayat warga emas berkenaan kemudian telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN










