KOTA BHARU: Sabah hanya akan mendapat hak 40 peratus hasil bersih sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekiranya negeri itu diterajui kerajaan berbeza dengan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) 29 November ini.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan itu menjadi sia-sia sekiranya kerajaan negeri dan pusat berada di bawah satu gabungan politik.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memperakui hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan daripada negeri itu membuka ruang penting untuk rundingan baharu.
“Sabah kena satu kerajaan baharu dan tidak sama dengan Kerajaan Persekutuan barulah boleh ada perundingan yang menguntungkan kerajaan Sabah serta rakyat negeri berkenaan.
“Hal ini kerana, jika kerajaan satu aliran, dia (kerajaan Persekutuan) akan mengenakan satu tekanan kepada kerajaan yang sama dengan dia itu. Maknanya…tuntutan itu akan jadi gagal,” katanya kepada pemberita selepas ceramah isu-isu semasa di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Kota Bharu turut memberi contoh bagaimana tuntutan tersebut boleh menjadi kurang berkesan sekiranya kedua-dua kerajaan berada dalam satu gabungan yang sama.
“Sebagai contoh, kalau pendapatan daripada Sabah RM10 bilion dan 40 peratus itu RM4 bilion, tapi kalau dia (Perdana Menteri) kata dia bagi RM17 bilion, dia mungkin kurangkan RM17 bilion itu.
“Jadi RM7 bilion sahaja. Campur RM4 bilion, jadi RM11 bilion berbanding RM17 bilion,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan sejak hampir empat dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari manakala persetujuan bersama harus perlu dicapai dalam 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan.
Susulan itu, satu jawatankuasa khas melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah ditubuhkan bagi memperincikan mekanisme tuntutan 40 peratus hasil negeri itu yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Pembendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.-UTUSAN











