ARAU: Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-20 di sini, hari ini.
Mustapa atau lebih mesra disapa Tok Pa menerima ijazah tersebut yang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Unimap.
Sebagai rekod, Mustapa dilahirkan pada 25 September 1950 dan merupakan anak jati Bachok, Kelantan, dengan mendapat pendidikan awal di Goverment English School (GES) Bachok.
Selepas menamatkan tingkatan enam dengan cemerlang, beliau turut melanjutkan pengajian ke University of Melbourne, Australia dan University of Boston, Unites States.
Beliau juga pernah diberikan tanggungjawab mengurus hal ekonomi dan kewangan yang merupakan bidang tidak asing baginya dan kemudian turut menjadi nadi dalam kerjayannya.
Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting seperti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi).
Kepimpinan beliau lebih reflektif khususnya di Unimap berikutan hubungan baiknya dengan
warga akademik dalam bentuk keterlibatan langsung menerusi pertemuan bersama pensyarah, menyemak semula reka bentuk program dan mengukuhkan budaya kerja.
Malah beliau turut mengusahakan inisiatif anak angkat Unimap di Kampung Jeli Seberang, Kelantan, dengan mengambil anak-anak kampung sebagai mentee.-UTUSAN










