PADANG BESAR: Pelaksanaan program seperti The Northernmost International Bird Race Wang Kelian dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran awam mengenai peranan kepelbagaian spesies dalam sesuatu ekosistem.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, melalui penganjuran program seumpama itu, rekod-rekod burung khususnya di Banjaran Nakawan dan Wang Kelian dapat dikemaskini dari masa ke semasa.
Baginda juga berharap program tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang bagi menarik lebih ramai pelancong bertandang ke negeri ini khususnya dalam menjalankan aktiviti pemerhatian burung.
“Beta difahamkan Jabatan Perhutanan negeri melalui Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) telah melaksanakan inventori burung di sepanjang Banjaran Nakawan pada 2022.
Berdasarkan inventori itu, terdapat sebanyak 197 spesies burung telah direkodkan di sepanjang Banjaran Nakawan, manakala kawasan Wang Kelian pula sebanyak 170 spesies.
“Beta percaya dengan penganjuran seumpama ini, rekod-rekod burung di Banjaran Nakawan dan Wang Kelian khususnya akan dapat terus dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Dengan rekod penganjuran kali kedua sejak tahun 2023, kini Wang Kelian, ia menjadi salah satu acara tahunan yang ditunggu-tunggu untuk para peminat avian yang setanding dengan Bukit Fraser Bird Race Pahang; Taiping Bird Week Perak; Wings of Kuala Kubu, Pesta Sayap Selangor; Borneo Bird Fair Sabah dan beberapa lagi berkaitan avian di Malaysia,” titah baginda bersempena Majlis Perasmian Penutup The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2025 di Dataran Arked Niaga Wang Kelian, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Wan Badariah Wan Saad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Teknikal) Jabatan Perhutanan Semenangjung Malaysia, Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah dan Pengarah Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni.
Sementara itu, baginda menyeru seluruh rakyat agar terlibat secara aktif dalam usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti dilaksanakan Jabatan Perhutanan negeri.
Baginda bertitah, langkah tersebut dapat membantu dalam menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara demi menjamin masa depan lebih baik buat generasi masa hadapan.
“Budaya sayangi alam sekitar perlu diberi penekanan dalam kalangan masyarakat agar dapat disebar luas secara menyeluruh. Beta berkeyakinan tinggi, Jabatan Perhutanan akan terus cemerlang dalam menggalas tanggungjawab untuk mengurus khazanah hutan di Perlis selari dengan visi jabatan,” titah baginda.-UTUSAN









