Tiga parti dominasi PRN Sabah

Tiga parti dominasi PRN Sabah

Pengundi muda (dari kiri) Siti Nuraisyah Jamil, 19, Norman Hakim Zafar, 20 dan Siti Jasnirah Jasnan, 19, menunaikan tanggungjawab mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Serusup, Tuaran, Sabah semalam. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi berada di ambang penentuan getir dalam sejarah politiknya apabila keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) menyaksikan tiada satu pun parti atau gabungan berjaya mem­peroleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Sehingga pukul 8.30 malam semalam, keputusan tidak rasmi menunjukkan tiga parti utama mendominasi saingan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Wari­san (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Setakat berita ini ditulis GRS mendahului saingan diikuti Warisan dan BN.

Selain itu, calon Bebas menang dua kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Patagas dan Kukusan manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memperoleh satu kerusi.

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) terus ketinggalan. Malah rakan utama dalam PH iaitu DAP menerima tamparan hebat apabila tewas di semua lapan DUN yang ditandingi, termasuk Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe.

Keputusan berkenaan sekali gus menjadikan rundingan pembentukan kerajaan sebagai fokus utama menjelang pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jika tiada parti atau gabungan mendapat mandat mutlak maka dijangka beberapa parti akan bergabung bagi mem­bentuk kerajaan campuran untuk memerintah Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Setiap parti atau gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 37 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk kerajaan.

Seperti dijangka, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor kekal selesa mempertahankan kemenangan di DUN Sulaman manakala Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut berjaya mengekalkan kedudukannya di DUN Senallang.

Nasib sama turut berpihak kepada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengekalkan kerusi DUN Lamag sekali gus menambah kekuatan parti masing-masing dalam pembentukan kerajaan kelak.

Selain itu, Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menang di DUN Kadaiman.

Pilihan raya negeri ini juga menyaksikan kemunculan semula veteran politik, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang berjaya memenangi Pintasan manakala bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Salleh Said Keruak di Usukan.

Sabah dilihat menolak PN apabila Pengerusi PN Sabah sendiri, Datuk Seri Ronald Kiandee tewas di Sugut.

Pilihan raya kali ini menyaksikan persaingan sengit apabila 596 calon daripada 22 parti politik dan 74 calon Bebas menawarkan diri untuk bertanding PRN Sabah di samping pertembungan sengit sehingga 14 penjuru.

Dalam pada itu, keputusan tidak rasmi menunjukkan beberapa kerusi tumpuan memperlihatkan persaingan luar biasa apabila jurang undi antara calon-calon utama hanya berbeza puluhan hingga ratusan undi, menjadikan kedudukan berubah-ubah dari semasa ke semasa.

Situasi itu menyebabkan kawasan-kawasan terbabit menjadi tumpuan sepanjang malam dengan keputusan sementara diumumkan secara berperingkat di pusat penjumlahan undi.

Setakat pukul 4 petang semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 60.94 peratus atau 1,062,114 daripada 1.78 juta telah keluar mengundi sejak pusat mengundi dibuka pukul 7.30 pagi dan ditutup 5.30 petang.

Terdahulu, proses pengundian berjalan lancar walaupun hujan berlaku di sesetengah kawasan seperti di Kota Kinabalu, Tenom, Beaufort, Keningau Sandakan dan Kudat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN