PETALING JAYA: Tiada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Sudan di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setakat ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua pegawai pemerhati ATM yang berada di Sudan di bawah misi United Nations Interim Security Force for Abyei (UNISFA) sebelum ini telah menamatkan tugas masing-masing pada September dan November 2025 selepas melengkapkan tempoh setahun sebagai pegawai pemerhati PBB.
Malah katanya, kedua-dua pegawai tersebut kini telah selamat kembali ke tanah air dan melapor untuk tugasan baharu.
“Kementerian Pertahanan mengambil maklum situasi terkini di El Fasher yang melibatkan pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
“Pihak PBB diyakini akan terus menilai tahap keselamatan di Sudan bagi memastikan
setiap penugasan dilaksanakan dalam keadaan yang stabil dan selamat, demi menyokong aspirasi keamanan serta kestabilan serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, penempatan pegawai pemerhati ATM sebelum ini adalah di Abyei, kawasan sempadan antara Sudan dan Sudan Selatan yang terletak kira-kira 815 kilometer (km) dari lokasi konflik semasa di El Fasher.
Dalam pada itu beliau berkata, Malaysia kekal komited untuk terus menyokong usaha keamanan global melalui penugasan pegawai pemerhati ATM di bawah panji PBB apabila keadaan mengizinkan.-UTUSAN










