BANGKOK: Jabatan Sains Perubatan Thailand mengeluarkan amaran mengenai trend baharu rokok elektronik yang mengandungi campuran bahan terlarang, selepas ujian makmal mengesan cecair penenang etomidate dalam puluhan sampel.
Ketua Pengarah jabatan itu, Dr Sarawut Boonsuk berkata, vape atau rokok elektronik semakin kerap dicemari pelbagai jenis narkotik yang boleh mengakibatkan bahaya kesihatan serius.
Ujian antarabangsa pernah mengesan bahan seperti kokain yang menjejaskan fungsi otak, serta fentanyl yang boleh menekan pernafasan hingga membawa maut.
Di Thailand, pihak berkuasa kini mengesan rokok elektronik pakai buang dikenali sebagai Kpods atau ‘rokok zombi’ yang mengandungi bahan psikoaktif baharu (NPS) menggantikan nikotin.
Bahan tersebut boleh merosakkan sistem saraf, kesihatan mental serta organ penting.
Dr Sarawut menasihatkan orang ramai, khususnya kanak-kanak dan remaja, supaya mengelakkan semua bentuk vape.
Antara Oktober 2024 hingga Jun 2025, Biro Ubat dan Narkotik jabatan itu menganalisis 83 sampel vape, termasuk peranti pakai buang, pod isian semula dan cecair yang dibekalkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), Polis Diraja Thailand serta Jabatan Siasatan Khas (DSI).
Daripada 27 sampel yang mempunyai label jelas, hanya nikotin ditemukan.
Bagaimanapun, dalam 56 produk tanpa label atau kelihatan palsu, pencemaran etomidate dikesan sama ada dicampur dengan nikotin atau digunakan sepenuhnya sebagai bahan gantian.
Etomidate ialah ubat penenang bertindak pantas yang sepatutnya digunakan hanya di hospital di bawah pengawasan perubatan.
Penggunaannya secara haram dalam cecair vape dilaporkan meningkat di seluruh Asia dan pertama kali dikesan di Thailand pada akhir 2024. -AGENSI










