Tempoh akhir pelan damai Trump buat Ukraine makin tersepit

Tempoh akhir pelan damai Trump buat Ukraine makin tersepit

PENUNJUK perasaan mengibarkan bendera dan memegang sepanduk semasa perhimpunan menyokong Ukraine di Anchorage, Alaska, pada 14 Ogos lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Ukraine kini melalui detik paling sukar dalam sejarahnya selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberikan tempoh sehingga Khamis depan untuk Kyiv menerima pelan damai ditaja Washington.

Pelan tersebut memaksa Ukraine menyerahkan wilayah kepada Russia serta membuat pelbagai ‘konsesi menyakitkan’ lain.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, negaranya kini tersepit dengan pilihan untuk mempertahankan maruah negara atau berisiko kehilangan rakan kongsi penting dalam bentuk pentadbiran AS yang dilihat bertekad menamatkan konflik mengikut syarat kejam Moscow.

“Sekarang tekanan ke atas Ukraine adalah antara yang paling berat,” kata Zelensky dalam ucapan selama 10 minit di luar Istana Presiden pada Jumaat.

Kelmarin, Trump mengesahkan memberi tempoh selewat-lewatnya sehingga 27 November untuk Zelensky menandatangani perjanjian itu, yang menurut pegawai Eropah dan Ukraine sebagai satu bentuk ‘penyerahan diri’.

Pegawai AS mendakwa, Trump sedang mengejar ‘garis masa agresif’ untuk Zelensky menamatkan konflik, dan berhasrat memberi tekanan yang belum pernah berlaku ke atas Kyiv.

Laporan tersebut menyebut Presiden AS itu turut mengancam untuk menghentikan perkongsian maklumat perisikan dan bekalan senjata penting kepada Ukraine jika negara itu gagal bersetuju.

Ukraine mungkin terpaksa akur dengan cadangan 28 perkara Trump atau menghadapi musim sejuk yang sangat sukar, selepas Russia memusnahkan sebahagian besar infrastruktur tenaga negara dan menyebabkan jutaan rakyat kesejukan tanpa pemanas serta bergelap.

Zelensky menegaskan, bersetuju dengan pelan AS-Russia boleh meletakkan Ukraine ‘tanpa kebebasan, maruah dan keadilan.

Ia juga memerlukan Kyiv mempercayai pihak yang menyerang negara tersebut, sambil menegaskan beliau tidak akan menggadaikan kepentingan negara atau melanggar Perlembagaan.

“Kami tidak mengkhianati Ukraine pada 2022, dan kami tidak akan berbuat demikian sekarang,” tegasnya.

Pelan tersebut menuntut Ukraine menyerahkan keseluruhan Donbas termasuk kawasan yang masih dikuasainya, selain mengurangkan saiz tentera, tidak menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta melarang penempatan pasukan pengaman Eropah.

Kyiv kini membincangkan langkah seterusnya bersama beberapa sekutu utama Eropah, termasuk Perancis, Britain dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, Putin mengesahkan Moscow menerima salinan pelan AS itu dan berkata ia boleh menjadi asas kepada penyelesaian perang.

Namun sumber rapat Kremlin berkata, walaupun Putin gembira dengan rangka asas pelan itu, ia masih tidak memenuhi semua tuntutan Russia, termasuk jaminan bertulis NATO tidak akan berkembang ke timur serta penyertaan EU yang bersifat neutral.- THE GUARDIAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN