PETALING JAYA: Negara-negara Selatan mengharapkan agar Sidang Kemuncak Pemimpin G20 memperjuangkan agenda yang adil dan saksama khususnya dalam menangani krisis kemanusiaan serta konflik global yang masih berlarutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, G20 perlu mengambil pendirian tegas untuk menamatkan kekejaman dan penjajahan di Gaza, menghentikan konflik di Sudan serta mencapai penyelesaian damai terhadap peperangan di Ukraine.
“Terima kasih kepada Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa atas kepimpinannya dan kerana menjemput Malaysia serta Pengerusi ASEAN ke sidang kemuncak ini.
“Kita bertemu di sebuah negara dan benua yang telah melalui pengalaman paling tidak berperikemanusiaan akibat apartheid dan penjajahan.
“Harapan negara-negara di Selatan ialah agar G20 memperjuangkan agenda yang adil dan saksama, tegas dalam usaha menamatkan kekejaman serta penjajahan di Gaza, menghentikan konflik saudara di Sudan dan mencapai penyelesaian damai terhadap peperangan di Ukraine,”katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan hari ini.
Perdana Menteri berkata, penting bagi sesebuah negara untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh bagi memastikan peluang perdagangan dapat dimanfaatkan oleh firma kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang bagi sebahagian besar peluang pekerjaan.
Beliau berkata, Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi menghadapi cabaran bersama, mengekalkan ekonomi global yang terbuka serta memberi peluang adil kepada setiap rakyat.
Katanya, kebanyakan ekonomi membangun kini membelanjakan lebih banyak perkhidmatan hutang berbanding pendidikan dan pelaburan, sedangkan negara memerlukan kapasiti untuk melabur sebelum berlakunya gangguan ekonomi.
“Bank pembangunan pelbagai hala perlu bersedia bertindak lebih pantas dan bekerjasama rapat dengan negara bagi menyokong pelaburan serta membina ketahanan,” katanya. – UTUSAN










