Taufan Kalmaegi: Korban terus meningkat, Filipina isytihar darurat

Taufan Kalmaegi: Korban terus meningkat, Filipina isytihar darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mengisytiharkan darurat susulan kemusnahan yang disebabkan oleh Taufan Kalmaegi, yang menyebabkan 114 orang terkorban manakala 127 lagi dilaporkan hilang.

Menurut kenyataan rasmi Pejabat Presiden, keputusan itu dibuat ketika taklimat bersama Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC).

Marcos berkata, pengisytiharan itu bertujuan mempercepatkan usaha menyelamat, bantuan serta pemulihan di kawasan terjejas, termasuk membolehkan akses segera kepada dana kecemasan dan mempercepat proses perolehan.

“Disebabkan keluasan kawasan yang terjejas akibat Tino dan bakal dilanda (Taufan) Uwan, saya bersetuju dengan cadangan majlis untuk mengisytiharkan bencana kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, antara 10 hingga 12 wilayah dijangka terjejas oleh dua taufan tersebut ketika negara bersiap menghadapi kesan Taufan Uwan yang sedang menghampiri.

Taufan Kalmaegi, yang turut dikenali sebagai Tino, mengakibatkan kemusnahan teruk di wilayah Central Visayas apabila ribut kuat itu meranapkan bumbung, menumbangkan pokok serta tiang elektrik, dan menyebabkan banjir besar, lapor portal Inquirer.

Jurucakap Timbalan Pejabat Pertahanan Awam, Diego Mariano, berkata seramai 82 orang cedera di wilayah berkenaan yang merupakan kawasan paling teruk terjejas.

Agensi cuaca Filipina memaklumkan walaupun Kalmaegi meninggalkan negara itu pada pagi Khamis, hujan masih berterusan di beberapa bahagian Luzon dan Mindanao.

Lebih 500,000 penduduk dilaporkan dipindahkan, manakala lebih 1.4 juta lagi terjejas di Central Visayas, termasuk di beberapa kawasan di wilayah Cebu.

Pihak berkuasa berkata, banjir dan tanah runtuh menutup laluan ke kawasan pedalaman, manakala beberapa bandar turut mengalami gangguan bekalan elektrik.

Bencana itu berlaku hanya beberapa minggu selepas gempa bumi berukuran 6.9 magnitud melanda Cebu pada 30 September, yang meragut banyak nyawa dan memaksa ribuan orang berpindah.

Usaha bantuan kini diteruskan dengan pasukan penyelamat berusaha mencapai kawasan yang terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.

Kalmaegi dilaporkan membadai wilayah Visayas pada awal Selasa, pertama di Southern Leyte dan kemudian di Cebu, sebelum bergerak ke Laut China Selatan.

Ribut itu dijangka kembali menguat dan menuju ke Vietnam, yang kini sedang membuat persiapan menghadapi ketibaannya pada Jumaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN