FLORIDA: Sebuah tandas emas 18 karat seberat 100 kilogram (kg), lengkap dengan sambungan paip, berjaya dijual dalam satu lelongan seni kontemporari pada 18 November lalu.
Arca tersebut dimiliki oleh satu-satunya pembida, iaitu syarikat hiburan Amerika Syarikat (AS), Ripley’s Believe It or Not!, yang membayar AS$12.1 juta (RM50.19 juta) untuk mendapatkan tandas emas berkenaan.
Jurucakap syarikat berkenaan, Suzanne Smagala-Potts, mengesahkan pembelian itu pada 19 November, dengan menyifatkannya sebagai pemerolehan paling luar biasa dalam sejarahnya.
“Ia kini menjadi pameran paling berharga dan sudah tentu paling berkilauan pernah menyertai koleksi Ripley’s.
“Jika dileburkan, emas itu sahaja bernilai kira-kira AS$10 juta (RM41.4 juta) mengikut harga semasa, menjadikannya mungkin ‘ruang rehat’ paling menarik dalam sejarah seni,” katanya.
Ripley’s memiliki berpuluh-puluh tarikan di seluruh dunia, termasuk akuarium, muzium dan laluan cermin yang diberikan sentuhan unik oleh syarikat itu.
Syarikat tersebut tidak menyatakan di mana tandas berkenaan akan ditempatkan, namun ia berhasrat untuk mempamerkannya.
Mereka juga sedang meneliti kemungkinan membenarkan pengunjung menggunakan tandas tersebut suatu hari nanti.
Rumah lelong Sotheby’s, yang mengendalikan lelongan pada 18 November, menetapkan harga karya seni itu berdasarkan nilai semasa emas.
Ripley’s membayar jumlah tersebut, selain premium tambahan sebanyak AS$2 juta (RM8.29 juta) kepada rumah lelong berkenaan.
Karya seni berjudul America itu, dihasilkan pada 2016 oleh artis konseptual Maurizio Cattelan, yang membuat dua versi arca tersebut.
Satu daripadanya dicuri dan dimusnahkan pada 2019 ketika dipamerkan di Istana Blenheim di England.
Versi yang dibeli Ripley’s sebelum ini dimiliki oleh Steve Cohen, seorang ahli kewangan yang juga pemilik pasukan besbol New York Mets.- NYTimes










