LONDON: Senjata letupan merekodkan kadar tertinggi kematian dan kecederaan kanak-kanak tahun lalu, berikutan semakin banyak konflik beralih ke kawasan bandar, menurut Save the Children dalam laporan yang diterbitkan pada Khamis.
Hampir 12,000 kanak-kanak terbunuh atau cedera dalam konflik di seluruh dunia pada 2024, kata badan amal berpangkalan di United Kingdom (UK) itu, memetik angka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Jumlah itu adalah yang tertinggi sejak rekod bermula pada 2006, dan meningkat 42 peratus berbanding tahun 2020.
Sebelum ini, kanak-kanak di zon perang lebih berisiko maut akibat kekurangan zat makanan, penyakit atau sistem kesihatan yang lumpuh.
Namun dengan konflik seperti di Gaza, Sudan dan Ukraine yang semakin tertumpu di kawasan bandar, kanak-kanak kini menjadi mangsa ketika bom dan dron menyerang hospital, sekolah serta kawasan kediaman, menurut badan itu.
Lebih 70 peratus daripada korban kanak-kanak di zon perang pada 2024 disebabkan oleh senjata letupan seperti peluru berpandu dan bom tangan, meningkat daripada purata sekitar 59 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024, menurut laporan itu.
“Dunia sedang menyaksikan kemusnahan zaman kanak-kanak secara disengajakan dan buktinya tidak dapat disangkal,” kata Narmina Strishenets, penasihat kanan advokasi konflik dan kemanusiaan di Save the Children UK.
“Kanak-kanak membayar harga paling tinggi dalam peperangan hari ini. Peluru berpandu jatuh di tempat mereka tidur, bermain dan belajar menjadikan lokasi yang sepatutnya paling selamat, seperti rumah dan sekolah mereka, sebagai perangkap maut,” katanya.
Saiz tubuh kanak-kanak yang lebih kecil serta organ yang masih berkembang menyebabkan kecederaan akibat letupan lebih parah, manakala proses pemulihan pula lebih kompleks dan berpanjangan.
“Kanak-kanak jauh lebih terdedah kepada senjata letupan berbanding orang dewasa,” kata Paul Reavley, pakar perubatan kecemasan pediatrik dan pengasas bersama Paediatric Blast Injury Partnership, sebuah kerjasama antara Save the Children UK dan pakar perubatan.
“Anatomi, fisiologi, tingkah laku serta keperluan psikososial mereka menjadikan mereka terkesan secara tidak seimbang,” jelasnya.
Konflik yang meragut paling banyak nyawa kanak-kanak pada 2024 ialah di wilayah Palestin iaitu Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, Sudan, Myanmar, Ukraine dan Syria.
Konflik paling maut bagi kanak-kanak dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah di Gaza, di mana seramai 20,000 kanak-kanak terbunuh sejak Israel melancarkan perang ke atas wilayah itu sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada Oktober 2023, menurut laporan tersebut.- AGENSI










