LIKAS: Barisan Nasional (BN) kekal berpegang pada tradisi menyelesaikan sebarang isu secara dalaman tanpa pertelagahan secara terbuka.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, fokus utama ketika ini adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan sebarang pertemuan atau perbincangan berkaitan isu dalaman dibuat selepas proses pilihan raya selesai.
“Kita akan berjumpa, sebab semangat BN seperti itu. Kita tidak akan berkelahi di luar.
“Kita sentiasa, bila ada masalah, kita akan duduk bersama, kita akan bincang sama-sama. Itulah tradisi BN sejak dulu lagi. Semua tahu bagaimana kami menyelesaikan masalah secara internal, kita tak suka bergaduh di luar,” katanya ketika ditemui selepas Program Lawatan ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) di sini hari ini.
Sebelum ini, MIC menyatakan kesediaa bertemu dengan kepimpinan BN sekiranya dipelawa bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Presidennya, Tan Sri S.A. Vigneswaran berkata, MIC tidak pernah menganggap BN mahupun UMNO sebagai musuh dan setakat ini belum ada sebarang jemputan untuk mengadakan pertemuan.
Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 baru-baru ini memutuskan untuk menyerahkan keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk ditetapkan sama ada kekal atau keluar daripada BN.
Zambry berkata, sebarang pertemuan atau perbincangan berkaitan isu dalaman BN akan dibuat selepas proses pilihan raya selesai.
“Sekarang mereka pun tahu. Saya pun sudah membuat kenyataan beberapa hari lalu bahawa keutamaan kita pada kali ini ialah PRN Sabah yang sedang berlangsung.
“Kita akan selesaikan selepas PRN, kita akan berjumpa, bincang-bincang, minum kopi,” katanya. – UTUSAN










