TUARAN: Sabah merupakan negeri tertinggi yang menerima peruntukkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bertujuan untuk memperkasa dan membangunkan masyarakat luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia disalurkan menerusi Belanjawan 2025 dan 2026 di mana Sabah mengatasi negeri dalam peruntukkan pembangunan desa tersebut.
Katanya, kerajaan Pusat melalui KKDW amat perhatian terhadap masalah Sabah yang mesti diselesaikan dengan segera.
“Peruntukan untuk Sabah dalam Belanjawan 2026 tahun depan, Sabah mendapat peruntukan besar berbanding negeri lain kerana kerajaan Persekutuan melalui KKDW amat prihatin terhadap negeri ini kerana masalah Sabah mesti diselesaikan.
“Antara usaha dilakukan KKDW di Sabah, kita berikan RM1.45 bilion atau 19.4 peratus daripada seluruh peruntukan kementerian untuk diberikan kepada negeri ini.
“Ia disalurkan antaranya program infrastruktur, perhubungan dan program kesejahteraan serta perumahan rakyat,” katanya dalam ucapan Program Sentuh Kasih@Tuaran di Pusat Latihan Rela di sini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya akan membaik pulih dan membina baharu 100 unit rumah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) tahun depan.
Beliau berkata, ini sebagai simbol komitmen kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkukuh kesejahteraan perumahan desa di negeri itu.
Katanya, Sabah sepanjang 2025 telah menerima peruntukan RM136.02 juta di bawah PPRS melibatkan 852 unit bina baharu dan 2,729 unit baik pulih.
“Daripada jumlah itu, Parlimen Tuaran menerima RM6.591 juta bagi 43 unit bina baharu dan 123 unit baik pulih,” katanya.
Mengenai Sentuhan Kasih Desa, Ahmad Zahid berkata, ia merupakan inisiatif pemerkasaan ekonomi usahawan luar bandar KKDW menerusi promosi jualan usahawan, akses khidmat sokongan dan pendedahan peluang pasaran lebih meluas.
Katanya, kementerian telah memainkan peranan signifikan dalam mentransformasi pembangunan luar bandar di seluruh negara khususnya Sabah ke arah yang lebih maju menerusi peruntukan besar oleh kerajaan Persekutuan.
Ahmad Zahid berkata, usaha itu juga merangkumi pembangunan usahawan dan pendidikan sama ada melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Melalui TVET misalnya, kita tawarkan pelbagai program untuk anak-anak Sabah di mana mereka berpeluang meningkatkan kemahiran sekali gus mendapat peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan tinggi.
“Selain itu, kita wujud pusat pendidikan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sama ada Tadika Kemas Pra Tahfiz dan kelas untuk anak-anak Autisme,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, KKDW sebagai sebuah kementerian pembangunan desa bertanggungjawab untuk melakukan transformasi masyarakat luar bandar.
“Jika dahulu, 90 peratus penduduk termasuk di Sabah tinggal di luar bandar, kini jumlah itu telah berkurangan.
“Pada 2025, mengikut perangkaan dan statistik terdapat 8.1 juta orang atau 24 peratus daripada 34 juta penduduk luar bandar.
“Ia berlaku kerana penghijrahan masyarakat, bukan sahaja fizikal, tetapi penghirahan minda dan sikap termasuk gerak kerja,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajib dilaksanakan bagi memastikan hak rakyat Sabah terus dipertahankan.
Katanya, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet dua minggu lalu dan beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mengambil tindakan merayu berhubung tuntutan 40 peratus tersebut.
“Kita menghargai pendirian Perdana Menteri yang menghormati hak Sabah. Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, beliau akan mengadakan rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi meneruskan pelaksanaan tuntutan itu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkara berkenaan amat penting bagi memastikan Sabah terus membangun dan menikmati pulangan setimpal dengan hasil negeri.
“Seperti yang disebut Perdana Menteri, kutipan cukai daripada Sabah berjumlah RM10 bilion, tetapi peruntukan yang diberikan sebanyak RM17 bilion.
“Ini menunjukkan tambahan RM7 bilion di luar apa yang sepatutnya diperoleh. Ini bukti komitmen kerajaan Persekutuan terhadap Sabah,” jelasnya.
Pada program itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan cek replika kepada wakil penerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar bernilai RM1.521 juta yang memberi manfaat kepada 288 usahawan di Sabah bagi tempoh 2023 hingga 31 Oktober 2025. – UTUSAN










