JAKARTA: Letusan Gunung Semeru sepanjang minggu lalu memusnahkan 21 rumah, kemudahan awam dan 205 hektar tanah pertanian, termasuk menyebabkan tiga penduduk cedera parah.
Menurut Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB), letusan gunung berapi itu turut menyebabkan pusat kesihatan dan pencawang elektrik di kampung Supiturang, Oro-Oro Ombo dan Penanggal rosak.
Setakat Ahad, lebih 500 penduduk dari tiga kampung tersebut ditempatkan di pusat pemindahan sementara yang dibuka di bangunan sekolah.
“Walaupun menumpang di pusat pemindahan, sebahagian mangsa masih pulang ke rumah pada waktu siang untuk membersihkan kediaman dan cuba menyambung kerja,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.
BNPB mengagihkan sokongan logistik dan keperluan asas seperti tilam, selimut dan makanan untuk meringankan beban mangsa terlibat.
Angkatan Tentera Indonesia (TNI) menempatkan 650 anggota di daerah terjejas bagi menyokong usaha bantuan, termasuk mengendalikan dapur awam, membersihkan sisa letusan dan membantu penduduk menyelamatkan barang daripada rumah yang rosak.
Komander Divisyen Infantri Ke-2, Mejar Jeneral Susilo berkata, anggota tentera ditempatkan di pelbagai lokasi untuk menyokong sepenuhnya operasi kemanusiaan.
“Keutamaan kami ialah pemulihan, membersihkan bahan letusan, menyokong dapur awam dan membantu penduduk menyelamatkan barangan mereka,” katanya semalam.
Kawasan luas terutama di sepanjang lembangan sungai Besuk Kobokan, masih diliputi abu dan mendapan gunung berapi, dengan banyak rumah tertimbus serta akses jalan terputus.
Pihak berkuasa berkata, operasi membersihkan sisa letusan adalah keperluan paling mendesak ketika ini.
Agensi Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral berkata, letusan pada 19 November itu, melepaskan tiang abu setinggi 2,000 meter.
Semeru turut mengeluarkan aliran piroklastik yang bergerak sejauh tujuh kilometer dari puncak, dengan abu meliputi arah utara dan barat laut.
Kerajaan daerah Lumajang mengisytiharkan darurat sehingga 26 November sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan letusan baharu.- AGENSI










