JOHOR BAHRU: Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli menyempurnakan istiadat Majlis Konvokesyen UTM Ke-69.
Istiadat gilang-gemilang itu bakal berlangsung bermula hari ini sehingga 20 November ini di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai di sini.
Turut berangkat, Pro-Canselor UTM, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor bersama dua lagi Pro-Canselor, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali.
Sebanyak 11 sidang penganugerahan dijadual diadakan sepanjang tempoh enam hari majlis tersebut yang dijangka dihadiri ribuan ahli keluarga graduan dan tetamu kehormat.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, seramai 7,156 graduan bakal diraikan meliputi 732 Doktor Falsafah (PhD); 1,476 Sarjana, 4,233 Sarjana Muda, 658 Diploma dan 57 Diploma Eksekutif.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,195 graduan antarabangsa dari 57 negara termasuk China, Indonesia, Bangladesh dan Palestin turut menamatkan pengajian mereka.
“Fakulti Alam Bina dan Ukur mencatat jumlah graduan tertinggi seramai 921 orang, diikuti Fakulti Kejuruteraan Elektrik (676) dan Fakulti Komputeran (652),” katanya pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Ke-69 di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM di sini, kelmarin.
Hadir sama, Pendaftar UTM, Datuk Dr. Mohd Shahril Abdullah dan Pengarah Program Festival Konvokesyen Ke-69, Ong Hong Yao.
Mohd. Shafry berkata, konvokesyen kali ini turut mengiktiraf pelajar cemerlang melalui beberapa anugerah berprestij termasuk Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor dan Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah yang akan disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong.
Penerima Anugerah Pelajaran Diraja tahun ini ialah Muhammad Najmi Shah Muhamed Azam Shah, graduan Sarjana Muda Sains Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, serta Che’er Mintong, graduan Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia.
Selain itu, beliau berkata, UTM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan kepada bekas Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie atas sumbangan besar beliau memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Jepun dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Empat tokoh akademik turut menerima gelaran Profesor Emeritus iaitu Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Prof. Datuk Dr. Mohd Tajudin Md. Ninggal, Dr. Awaluddin Mohamed Shaharoun dan Prof. Dr. Ghazali Sulong sebagai penghargaan terhadap jasa dan legasi ilmu mereka.-UTUSAN










