ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan tahniah kepada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) atas kejayaan cemerlang para penyelidiknya yang berjaya meraih dua pingat emas serta Anugerah Khas National Research Council of Thailand (NRCT).
Mereka menerima anugerah berkenaan bersempena Pameran Inovasi iENA 2025 (International Trade Fair, Ideas, Inventions, and New Products) di Nuremberg Exhibition Center, Jerman baru-baru ini.
Kejayaan tersebut dicapai melalui dua kumpulan penyelidik Unimap.
Kumpulan pertama diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah bersama Prof. Madya Dr. Rafiza Abd Razak melalui produk bertajuk ‘A Dual-Purpose GeoPlaster Surface System for Integrated Structural Finishing and Fire Protection’.
Kumpulan kedua pula diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dengan inovasi bertajuk ‘NS-UR Flux Cored Lead-free Solder Wire: A High Strength Solution for Reliable Electric/Electronic Interconnects’.
Baginda bertitah, kejayaan tersebut wajar menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga Unimap untuk terus berusaha gigih, berinovasi serta bekerja keras dalam mencapai kejayaan pada setiap peringkat sama ada nasional mahupun antarabangsa.
Titah tersebut dizahirkan selepas baginda yang juga Canselor Unimap berkenan berangkat meninjau persiapan akhir Dewan Tuanku Canselor yang baru siap dan buat julung kalinya akan menjadi venue Istiadat Konvokesyen Unimap kali Ke- 20 yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 November 2025.-UTUSAN










