Raja Muda Perlis berkenan sempurnakan Program DTP LeADS

Raja Muda Perlis berkenan sempurnakan Program DTP LeADS

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan bergambar bersama pelajar-pelajar pada Program DTP LeADS: Rise to Success SPM 2025 di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan negeri, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Program DTP LeADS: Rise to Success SPM 2025 di Dewan Serbaguna Jabatan Pendidikan negeri, di sini, baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin.

Pelaksanaan program itu bertujuan bagi meningkatkan penguasaan teknik menjawab soalan dan membina keyakinan para pelajar menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan set alat tulis kepada pelajar-pelajar terlibat sebagai motivasi tambahan buat mereka dan persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Menerusi penganjuran itu, seramai 300 pelajar dari sembilan buah sekolah di negeri ini yang bakal menduduki SPM telah terlibat dengan inisiatif tersebut di bawah District Transformation Programme (DTP).

Pelaksanaan program itu juga merupakan usaha Jabatan Pendidikan negeri dalam memastikan pelajar bersiap sedia menghadapi peperiksaan SPM dengan turut memberi penumpuan khusus terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Program itu juga memberi penekanan terhadap strategi menjawab soalan dan pemantapan kendiri melalui slot khas serta sesi motivasi ‘Rise to Success’.

Program dilaksanakan ini mendapat sokongan pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Bangsa dan pihak sekolah dalam mengukuhkan ekosistem sokongan kepada pelajar berisiko.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN