Puluhan ribu pendatang ditahan sepanjang penutupan kerajaan AS

Puluhan ribu pendatang ditahan sepanjang penutupan kerajaan AS

SEORANG individu ditahan oleh ejen Pengawal Sempadan AS di Charlotte, Carolina Utara, pada 19 November lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) menahan dan mengusir puluhan ribu individu dalam operasi di seluruh negara ketika penutupan kerajaan persekutuan.

Data baharu mendedahkan, tindakan tersebut menyebabkan peningkatan mendadak jumlah tahanan imigresen, dengan lebih 65,000 orang kini ditempatkan di pusat tahanan, angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negara itu.

Walaupun ramai kakitangan persekutuan diberhentikan sementara tanpa gaji dan perkhidmatan awam terjejas, pegawai ICE tetap meneruskan operasi mengikut agenda pentadbiran Trump terhadap kumpulan pendatang, termasuk penahanan ribuan individu tanpa rekod jenayah.

Sepanjang tempoh penutupan, ICE menahan kira-kira 54,000 individu dan menghantar pulang lebih 56,000 orang.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) turut menahan ribuan lagi pada tempoh sama, manakala angka tangkapan ICE tidak merangkumi semua individu yang berada dalam tahanan agensi itu.

Data terkini merangkumi tempoh 1 Oktober hingga 15 November, meliputi keseluruhan penutupan kerajaan yang berakhir pada 12 November, termasuk tiga hari tambahan.

Statistik rasmi yang dikeluarkan pada Khamis itu adalah kali pertama sejak ICE berkongsi data mengenai tangkapan dan penahanan terkini September lalu.

Sepanjang penutupan, pegawai tertinggi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), agensi induk bagi ICE dan CBP, berulang kali mendakwa operasi yang dijalankan menyasarkan penjenayah paling berbahaya.

Namun, data terbaharu menunjukkan lebih 21,000 individu tanpa sebarang rekod jenayah ditahan, sekali lagi mengatasi jumlah mereka yang mempunyai sabitan mahkamah atau pertuduhan.

Individu tanpa rekod jenayah kekal sebagai kumpulan terbesar dalam tahanan imigresen AS.

Status individu tidak berdokumen di negara itu tidak dianggap sebagai jenayah, sebaliknya sekadar pelanggaran sivil.

Data terbaharu juga menunjukkan ICE menahan lebih 16,000 individu dengan rekod jenayah dan hampir 15,300 orang yang mempunyai pertuduhan serta menunggu untuk dibicarakan.- THE GUARDIAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN