Pulau tidak berpenghuni jadi pusat transit dadah

Pulau tidak berpenghuni jadi pusat transit dadah

kastam
Anis Rizana Mohd. Zainudin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pulau-pulau ti­dak berpenghuni di negara ini di­kesan dijadikan pusat transit penyeludupan dadah oleh sin­diket bagi mengelabui pihak ber­kuasa.

Kumpulan sindiket akan me­ninggalkan dadah di lokasi tertentu di pulau berkenaan sebelum diambil oleh individu lain untuk diedarkan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, selain pulau-pulau tidak berpenghuni, sindiket turut menggunakan kontena bermuatan kargo buah-buahan dan sayur-sayuran dari negara jiran untuk menyeludup dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan se­banyak 594 kes penyeludupan dadah dengan rampasan men­cecah RM459.30 juta dalam tempoh 10 bulan tahun ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pihak berkuasa sebelum ini pernah merampas dadah di beberapa buah pulau antaranya pada 26 Ogos 2024, kira-kira enam kilogram (kg) dadah dipercayai syabu bernilai RM300,000 ditemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka/Negeri Sembilan, di Pulau Konet, Telok Gong.

Pada 14 November lalu pula, JKDM Perlis memaklumkan, pihaknya merampas bunga kanabis seberat 41.5kg dianggar bernilai RM378,000 dalam pemeriksaan di kawasan pokok bakau Pulau Ketam, pintu ma­suk perairan Kuala Perlis.

Dalam pada itu kata Anis Rizana, penyeludupan menggunakan kontena-kontena bermuatan buah-buahan, sa­yuran dan makanan basah dari negara jiran dikesan de­ngan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi ber­kenaan.

“Sindiket juga dikesan menggunakan pelbagai modus operandi seperti perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran.

“Kita juga mengesan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan,” ujar­nya.

Anis Rizana berkata, aktiviti penyeludupan di sempadan lazimnya menggunakan keldai dadah atau individu tertentu yang menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan.

“Terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah,” katanya.

Beliau berkata, operasi Joint Task Force (JTF) bersama Indonesia dari 1 hingga 31 Julai lalu di Sabah dan Sarawak menca­tatkan nilai rampasan seba­nyak RM39.22 juta.

“Kita juga melaksanakan rutin pemeriksaan di pintu keluar masuk negara oleh pegawai yang bertugas di kawasan sempadan.

“Kawalan kawasan per­airan negara juga dilaksanakan secara berkala dengan memfokuskan kawasan panas, selain rondaan rutin oleh Unit Marin JKDM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN