KOTA BHARU: Pas mengesahkan parti itu akan bertanding lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 23 November ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, salah satu daripada lima kerusi yang diperuntukan oleh Perikatan Nasional (PN) kepada parti itu ialah Karambunai.
Katanya, kerusi tersebut akan ditandingi oleh Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr. Aliakhbar Gulasan.
“Karambunai antara kawasan yang mempunyai potensi tinggi untuk kita menang. Selain itu, Dr. Aliakhbar merupakan anak tempatan.
“Untuk kawasan lain yang ditandingi Pas, kita akan tampil anak tempatan sebagai calon,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, Pas akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN itu nanti.
Katanya, perkara tersebut telah mendapat persetujuan daripada rakan gabungan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Setakat ini mengikut perancangan, PN akan bertanding 40 kerusi DUN. Pengumuman calon PN akan dibuat pada 11 November ini. Saya harap rakyat Sabah dapat memberikan peluang kepada PN untuk tadir negeri.
“Pendekatan PN di Sabah adalah membawa pembaharuan dan perubahan sebenar. Isu terbesar di Sabah ialah rasuah dan serta soal peruntukan. Bukan kerana peruntukan tiada tapi tidak sampai kepada rakyat,” jelasnya.
Utusan Malaysia 16 Oktober lalu melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh mengundi awal pula pada 25 November.-UTUSAN










