KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) berada dalam ‘bahaya’ sekiranya kemelut dalaman melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal diselesaikan segera kerana ia menjejaskan persiapan gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau mahu kemelut penggantungan dan pemecatan pimpinan Bersatu itu diselesaikan segera selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Katanya, perpecahan dalaman yang semakin membarah itu perlu segera diselesaikan segera selepas tindakan disiplin dilihat tidak telus dan digunakan untuk membisukan pemimpin yang bercakap benar demi masa depan PN.
“Selepas PRN Sabah, isu ini mesti diselesaikan segera. Perbincangan secara ikhlas antara Presiden dan Timbalan Presiden mesti dimulakan, dan itulah yang kami harapkan.
“Masalah ketika ini apabila ada segelintir individu dalam parti, khususnya kumpulan yang baharu menyertai Bersatu beranggapan mereka boleh menggunakan Lembaga Disiplin untuk mendiamkan sesiapa sahaja yang mengkritik hanya kerana berbeza pandangan,” katanya kepada pemberita selepas ceramah isu-isu semasa di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal memberitahu, jika tindakan itu diteruskan ia akan menghancurkan parti dari dalam.
Katanya, individu yang dikenakan tindakan itu bukan penderhaka atau penentang parti, tetapi pemimpin yang dipilih akar umbi dan membawa suara PN.
“Pemimpin yang digantung atau dipecat itu bukan mahu bertindak biadap kepada presiden cuma tidak bersetuju dengan perkara tertentu,” ujarnya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, pemimpin Bersatu yang digantung dan dipecat tetap mengikuti apa yang termaktub dalam perlembagaan parti dan sebagai ahli yang dikenakan tindakan, mereka masih mempunyai hak serta ruang untuk mengemukakan rayuan.
“Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang terbaru, sudah diumumkan pelantikan korum yang cukup Lembaga Rayuan, jadi kami semua sudah pun merayu termasuk mereka yang dipecat pada minggu lepas.
“Kami berharap Lembaga Rayuan dapat bersidang dengan segera dan menilai permohonan kami secara adil. Saya yakin, jika prosesnya mengikut peraturan yang betul, kesemua kami wajar diberikan keadilan serta dikembalikan ke jawatan yang kami menangi sebelum ini,” katanya.-UTUSAN










