KOTA BHARU: Pas belum menerima sebarang maklumat dari rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) mengenai surat cadangan pertukaran jawatan Ketua Pembangkang antara Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada Datuk Dr. Radzi Jidin sebagaimana yang tular ketika ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini Pas tidak menerima maklumat berhubung perkara tersebut.
Katanya, kebiasaan sebarang perubahan atau keputusan perlu melalui perbincangan mesyuarat peringkat pimpinan tertinggi PN.
“Biasanya kita akan bincang, baru ada keputusan. Setakat ini tiada maklumat lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Dewan Belia Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November didakwa sebagai surat sulit kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa tindakan segera diambil ke atas individu tertentu bagi mendamaikan dan memulihkan kesejahteraan parti itu.
Surat tanpa kepala surat rasmi yang tular itu mengandungi perkataan sulit, mencadangkan agar Bersatu menggantikan Naib Presidennya, Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
“Nama Datuk Seri Hamzah Zainuddin sudah tidak asing lagi bagi kita, di mana beliau dikenali sebagai timbalan presiden yang berperanan dalam menyusun atur dan menggerakkan kelompok ini.
“Beberapa pemimpin parti telah mengadakan perbincangan dan musyawarah, di mana kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai ketua pembangkang dan timbalan presiden perlu dinilai semula.
“Tindakan yang perlu diambil dengan segera adalah mempercepatkan prosiding Lembaga Disiplin terhadap Datuk Seri Hamzah Zainuddin,” tulis dokumen tersebut.-UTUSAN










