KOTA KINABALU: Pertembungan lima kerusi antara tiga parti kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai ‘pertarungan persahabatan’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu berlaku ekoran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdepan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“GRS-PKR, PH ada, BN PH ada. Itu saya (rasa) dua friendly fight (pertarungan persahabatan) la. Satu dua okay,” katanya
katanya dalam Sesi Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
PRN Sabah menyaksikan empat DUN berdepan pertembungan antara tiga parti kerajaan Perpaduan antara BN, PH dan GRS.
Ia membabitkan kerusi DUN Karamunting, Kamabong, Mayog dan Bandau.
BN misalnya bertembung dengan PH di DUN Karamunting apabila parti tu mempertaruhkan seorang calonnya, Chin Kim Hiung daripada MCA manakala PH pula menampilkan, Datuk George Hiew daripada PKR.
Selain itu, PH berdepan GRS di Kemabong ekoran DAP menamakan bekas Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual sebagai calon kelapan mereka bagi mencabar penyandang kerusi daripada GRS, Datuk Rubin Balang.
Selain itu, mereka juga berdepan BN yang mempertaruhkan Rahmah Jan Sulaiman daripada UMNO sebagai calonnya.
Bagi kerusi Mayog pula, PH yang diwakili calon PKR, Remysta Taylor berdepan calon GRS, Ir Joeynodd Aiiko Roland Bansin.
Satu lagi kerusi adalah Bandau apabila PH meletakkan calon PKR Zaidi Jatil yang berdepan cabaran calon GRS, Datuk Redonah Bahanda
Sebelum ini, PH dan GRS mencapai perjanjian bahawa tiada pertembungan, begitu juga perjanjian parti itu bersama BN. – UTUSAN










