PETALING JAYA: Polis akan memohon reman ke atas pengarah dan penyanyi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sini bulan lalu.
Utusan Malaysia difahamkan proses reman tersebut akan dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dekat sini pagi ini.
Permohonan itu dibuat selepas Namewee tampil menyerah diri malam tadi selepas dikesan polis memandangkan dia turut berada dalam bilik sama pempegaruh itu di sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur.
Usaha mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu giat dilakukan namun satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Semakan Utusan Malaysia terhadap Sistem Pemfailan Elektronik (EFS) Kehakiman, nama Namewee sudah berada di dalam senarai tersebut dan dijadualkan hadir pada pukul 11 pagi ini. – UTUSAN










