WASHINGTON: Pentagon menarik balik ratusan anggota Pengawal Kebangsaan dari Chicago dan Portland, Oregon, hanya beberapa minggu selepas Presiden Donald Trump mengarahkan penempatan meskipun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin negeri serta tempatan.
Menurut pegawai AS yang enggan mendedahkan nama, sekitar 200 Pengawal Kebangsaan California di Portland dan 200 anggota dari Texas di Chicago kembali ke negeri masing-masing bermula semalam.
Pasukan itu tiba di kedua-dua bandar pada awal Oktober tetapi tidak pernah dikerahkan ke jalanan untuk membantu penguatkuasa persekutuan atau melindungi bangunan kerajaan, berikutan cabaran undang-undang yang masih berlangsung di mahkamah.
Berikutan perayaan Krismas semakin hampir dan perintah mahkamah yang menangguhkan operasi Pengawal Kebangsaan, pegawai kanan Pentagon memutuskan minggu lalu untuk menarik balik anggota tentera dari negeri lain, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, daripada membiarkan mereka berada dalam keadaan tidak menentu dan jauh daripada keluarga semasa musim perayaan.
Sekitar 300 anggota Pengawal Kebangsaan Illinois akan terus dikerahkan di kawasan Chicago, manakala kira-kira 200 anggota Oregon kekal aktif di kawasan Portland, menurut pegawai.
Anggota Pengawal Texas dan California diaktifkan atas arahan persekutuan oleh Trump pada awal Oktober serta diletakkan dalam status tugas aktif mengikut Perkara 10 Kanun AS.
“Pasukan kami di setiap bandar dilatih dan bersedia, dan akan digunakan bila-bila masa diperlukan untuk menyokong penguatkuasa undang-undang serta memastikan keselamatan rakyat,” kata Northern Command dalam kenyataan pada 15 November.
Seorang hakim persekutuan di Portland pada November mengeluarkan larangan kekal terhadap penempatan anggota tentera ke bandar tersebut berikutan demonstrasi menentang Imigresen dan Kastam (ICE).
Jurucakap Gabenor Illinois, Matt Hill berkata, pegawai negeri masih belum diberitahu mengenai tindakan Pentagon itu.
“Walaupun ada laporan yang mengatakan anggota Pengawal Kebangsaan Texas akan ditarik balik, pentadbiran Trump menyatakan mereka akan terus menggunakan anggota persekutuan bagi memastikan kehadiran tetap dan berterusan di bandar-bandar.
“Illinois akan terus mempertahankan hak negeri, melindungi rakyat, dan menjaga keamanan komuniti kami,” tulis Encik Hill di media sosial.- NYTIMES









