PUTRAJAYA: Pihak pentadbir sekolah diberi kuasa penuh dan berhak melakukan pemeriksaan beg sekolah pelajar serta merampas barangan yang dianggap berbahaya dan dilarang termasuk telefon bimbit.
Langkah itu bagi memastikan tahap keselamatan di sekolah sentiasa terjamin tanpa menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sejak tahun 2009 telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas berhubung penguatkuasaan larangan membawa dan menggunakan telefon bimbit oleh murid di sekolah.
Katanya, surat pekeliling tersebut boleh dijadikan panduan kepada pentadbir sekolah untuk melaksanakan pemeriksaan secara berkala terhadap barangan larangan yang dibawa murid.
“Pihak pentadbir sekolah berkuasa penuh untuk menentukan senarai barangan larangan yang tidak dibenarkan dibawa oleh murid ke sekolah berdasarkan pertimbangan dan kebijaksanaan pihak pentadbir sekolah.
“Pekeliling sedia ada memberi ruang kepada pihak sekolah menggunakan budi bicara profesional serta tindakan segera dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, walaupun larangan membawa telefon bimbit telah lama dikuatkuasa, peraturan tersebut dilihat semakin dilupakan apabila penggunaannya menjadi kebiasaan selepas tempoh pandemik Covid-19.
Dr. Mohd. Azam berkata, pihak sekolah boleh mengadakan libat urus bersama ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menjelaskan semula berkaitan bahan larangan dan penggunaan telefon bimbit serta memperkukuh kefahaman mengenai peraturan sedia ada.
“Apabila banyak isu timbul termasuk kes keselamatan dan disiplin, tidak perlu menuding jari kepada mana-mana pihak. Peraturan ini sudah lama wujud, cuma mungkin perlu diberi penegasan semula,” ujarnya.
Katanya, selain telefon bimbit, pentadbir sekolah juga boleh menetapkan larangan terhadap barangan lain yang boleh menimbulkan risiko keselamatan atau mengganggu tumpuan murid di sekolah.
Tambah beliau, KPM tidak bercadang menyenaraikan satu persatu jenis barangan larangan kerana kebanyakan perkara tersebut sudah jelas diketahui umum.
“Contohnya, membawa pembaris besi yang panjang mungkin dianggap merbahaya terutama dalam konteks isu buli yang berlaku sekarang. Ini semua tertakluk kepada pertimbangan sekolah masing-masing,” katanya.
Mengulas isu larangan membawa alat solek ke sekolah, beliau menjelaskan, keputusan itu juga berpaksikan kepada kebijaksanaan sekolah bagi mengekalkan disiplin dan fokus terhadap pembelajaran.
Dr. Mohd. Azam menegaskan, ibu bapa juga diseru memahami peranan sekolah dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat bagi anak-anak mereka.
“Kalau ada sebarang tuntutan atau ketidakpuasan, bincanglah secara baik dengan pihak sekolah. Tidak perlu timbulkan konflik baharu. Fokus utama ialah pembelajaran murid dan pembentukan sahsiah mereka,” katanya.
Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa KPM mengeluarkan satu garis panduan standard mengenai barangan larangan yang tidak dibenarkan dibawa ke sekolah biarpun dibenar melakukan pemeriksaan mengejut terhadap beg sekolah murid.
Ketiadaan panduan rasmi menyebabkan pihak sekolah berada dalam dilema dan mengambil pendekatan sendiri menentukan barangan yang boleh atau tidak boleh dibawa oleh murid sekali gus menimbulkan pertikaian antara pihak sekolah dan ibu bapa kerana tiada keseragaman dalam pelaksanaan peraturan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan apa ada dalam beg sekolah anak-anak, susulan beberapa kejadian jenayah membabitkan pelajar, termasuk kes kematian pelajar perempuan Tingkatan
Empat di Bandar Utama yang ditikam bertubi-tubi oleh pelajar lelaki menggunakan pisau dipercayai dibeli secara dalam talian.
Selain itu, pada 11 Oktober lalu, empat pelajar lelaki berusia 17 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan kes rogol pelajar Tingkatan Tiga dan merakam perbuatan keji itu menggunakan telefon bimbit.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan penjaga sehinggakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyokong sekiranya pemeriksaan beg sekolah secara mengejut dan berkala dilaksanakan dengan lebih kerap bagi menjamin keselamatan murid-murid. – UTUSAN










