BAGAN DATUK: Sebanyak tujuh buah rumah dimasuki air berikutan kejadian ban penahan ombak sungai yang pecah di tepi muara Sungai Perak di Kampung Pasang Api, Teluk Penikam di sini kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, ban penahan ombak sungai di kampung itu pecah sejak tiga hari lalu dan keadaan diburukkan lagi dengan fenomena air pasang besar sejak kelmarin.
Menurutnya, ini menyebabkan penghuni sebuah rumah yang dimasukan air terpaksa dipindahkan sementara ke perumahan awam di sini.
“Saya telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya mengambil tindakan segera untuk memperbaiki ban yang pecah ini dan dimaklumkan JPS Daerah sudah melantik syarikat kontraktor untuk membaikinya.
“Kerja menutup ban yang pecah ini perlu disiapkan dengan segera kerana jika lewat disiapkan, air pasang akan masuk semula menerusi ban yang pecah ini.
“Kami akan memantau keadaan ini kerana diramalkan air pasang besar akan berlaku selama tiga hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shahrul Zaman berkata, ban pecah berlaku disebabkan tiang konkrit yang dipasang di tebing sungai sudah terjatuh dari tebingnya, menyebabkan air melimpah masuk ke kawasan kampung.
Beliau difahamkan kerajaan sudah memperuntukkan sehingga RM68 juta untuk membina ban baharu yang lebih kukuh bagi mengelak berlaku runtuhan.
“Saya difahamkan tembok penahan ombak yang baru akan dibina, dengan peruntukkan RM68 juta, tembok ini sepanjang tiga kilometer dan apabila siap, ia mampu mengatasi masalah penduduk yang berdepan ancaman banjir. Saya difahamkan kerja-kerja pembinaan akan bermula tahun depan,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk yang rumahnya terkesan akibat ban pecah, Rozaila Mohd. Nasir, 33, berkata, kejadian berlaku pada pukul 4 pagi semalam ketika dia dan suami serta empat anaknya sedang tidur.
Menurutnya, ban yang pecah menyebabkan air sungai masuk ke kawasan kampung sehingga ke paras lutut.
“Ini pertama kali rumah kami dinaiki air disebabkan kejadian ban pecah. Air mula naik pada pukul 4 pagi tadi, saya tak sempat menyelamatkan apa-apa barangan rumah sebaliknya menyelamatkan anak-anak terlebih dahulu,” katanya.-UTUSAN.










