KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan lima amanat utama yang menjadi panduan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) melangkah maju berteraskan panduan yang benar, berpaksikan ilmu, keikhlasan serta sentiasa berada dalam lindungan dan keberkatan Allah SWT.
Baginda bertitah, amanat pertama perlu diberikan perhatian dengan menjadikan penghayatan sunnah sebagai teras menggerakkan seluruh institusi pengajian itu.
Titah baginda, UniSIRAJ hendaklah menjadi cerminan keindahan sunnah Rasulullah SAW, bukan hanya pada ucapan dan tulisan tetapi pada perilaku, pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta budaya kerja seharian.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, UniSIRAJ juga bukan hanya sekadar memberi penumpuan bagi melahirkan insan berijazah semata-mata namun seharusnya fokus untuk mendidik pelajar berilmu, berakhlak dan beradab.
“Mahasiswa hendaklah dididik agar memahami bahawa kejayaan sejati bukan diukur berdasarkan pangkat, kedudukan atau kekayaan namun turut dinilai berdasarkan ketulusan hati, amanah serta akhlak yang luhur.
“Beta ingin melihat UniSIRAJ menjadi taman ilmu melahirkan insan rabbani yang fikirannya tajam, hatinya bersih, semangatnya tinggi dan perilakunya berakhlak mulia. UniSIRAJ juga perlu dijadikan sebagai institusi rujukan Islam melibatkan pelbagai disiplin ilmu seperti mana termaktub dalam perlembagaan universiti itu.
“UniSIRAJ juga perlu memperkukuhkan penguasaan dalam bidang penyelidikan dan inovasi berteraskan kepada nilai-nilai Islam,” titah baginda menyempurnakan Majlis Pemasyhuran UniSIRAJ di Dewan 2020 di sini kelmarin.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran identiti baharu UniSIRAJ dan menyampaikan Anugerah Penghargaan Bakti Dikenang.
Serentak dengan itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullailturut dimasyhurkan sebagai Canselor UniSIRAJ selain pengisytiharan Prof Dr. Muhamad Rozaimi Ramle sebagai Naib Canselor pertama UniSIRAJ.
UniSIRAJ sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan ditubuhkan pada 3 Mac 2013 dengan mula beroperasi secara rasmi di Blok S1, Kompleks Desa Siswa, Sungai Chuchuh, Padang Besar dan kurikulumnya diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).
Bermula pada 2016, KUIPs mula diiktiraf di peringkat serantau apabila menerima kemasukan pelajar antarabangsa membabitkan beberapa negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Myanmar dan Nigeria.
Baginda seterusnya menitipkan amanat kelima agar UniSIRAJ memperkukuh peranan dalam pembinaan tamadun dan kemanusiaan sejagat seterusnya mengimpikan agar universiti tersebut menjadi pusat wacana tamadun Islam sejagat iaitu tempat bertemunya para ilmuwan dan pemikir dunia yang bersatu membina gagasan untuk kesejahteraan umat manusia.-UTUSAN.










