PETALING JAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) memutuskan hukum pendermaan dan pemindahan rahim adalah tidak harus kerana keperluan mendapatkan zuriat melalui kaedah tersebut belum mencapai tahap darurat bagi membolehkan perkara diharamkan dalam syarak itu dilakukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas Muzakarah MKI meneliti kajian berkaitan pemindahan rahim yang dikemukakan oleh kumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) dalam mesyuarat pada 21 dan 22 Oktober 2014.
Katanya, hukum asal pendermaan rahim adalah haram dan syarak melihat usaha mendapatkan zuriat sebagai takmiliyyah, iaitu satu keperluan pelengkap kehidupan.
“Oleh itu, isu tersebut berada pada tahap tahsiniyat, bukan darurat yang membolehkan pengecualian hukum.
“Jawatankuasa Muzakarah MKI memutuskan pendermaan rahim dan pemindahannya adalah tidak harus kerana ia belum mencapai tahap darurat bagi membenarkan sesuatu perkara yang diharamkan dilakukan,” katanya menerusi jawapan bertulis hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Abdul Ghani Ahmad (Pas-Jerlun) mengenai status terkini pengeluaran fatwa berkaitan pemindahan rahim bagi pesakit yang menghadapi penyakit sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser (MRKH) yang lahir tanpa rahim dan faraj.
Bagaimanapun, Mohd. Na’im berkata, kerajaan tetap memberi perhatian serius terhadap perkembangan teknologi perubatan agar selaras dengan tuntutan syarak termasuk isu pemindahan rahim di Malaysia.
Katanya, kerajaan sedang meneliti perkara berkenaan secara menyeluruh mengambil kira kemajuan perubatan semasa, ketersediaan kepakaran dalam negara, pandangan Kementerian Kesihatan dan kebajikan pesakit khususnya mereka yang menghidap sindrom MRKH yang dilahirkan tanpa rahim dan faraj.
“Usaha bagi meneliti isu ini dari sudut syariah sedang digerakkan demi memastikan kemaslahatan pesakit MRKH terpelihara,” katanya. – UTUSAN










