KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman mendakwa peruntukan yang diterima Perbadanan Labuan daripada kerajaan ketika ini terlalu kecil berbanding tanggungjawab besar agensi itu sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, sebagai agensi yang memikul peranan penting terhadap pembangunan Labuan, jumlah peruntukan sedia ada menyukarkan pelaksanaan lebih banyak projek untuk manfaat penduduk setempat.
“Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab ke atas pembangunan Labuan, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan adalah sangat sedikit.
“Justeru saya meminta dan merayu kepada Perdana Menteri supaya mengkaji dan memperhalusi cara bagaimana untuk memberikan peruntukan yang lebih banyak agar lebih banyak projek-projek yang boleh memberikan kebaikan kepada rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Suhaili turut memohon supaya kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan bagi melaksanakan Fasa Kedua Projek Waterfront Labuan bernilai RM54 juta selepas fasa pertama bernilai RM38 juta siap dilaksanakan.
“Saya juga ingin merayu agar diberikan peruntukan tambahan untuk fasa kedua yang mana saya difahamkan anggaran lebih kurang RM54 juta.
“Sekiranya fasa dua tidak dilaksanakan, maka projek ini akan tergantung-gantung. Ia hanya akan separuh masak,” katanya. – UTUSAN










