OKU penglihatan tamat pengajian al-Quran di USIM

OKU penglihatan tamat pengajian al-Quran di USIM

MUHAMMAD Izaan Sabaruddin (kiri) bersama abang kembarnya, Muhammad Izzat bergambar selepas Majlis Konvokesyen USIM Ke-23 di Nilai, Seremban, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kekurangan yang dihadapi dirinya tidak menghalang seorang mahasiswa orang kurang upaya (OKU) penglihatan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk gigih berusaha sehingga berjaya menamatkan pengajian dan bergelar graduan dalam bidang pengajian al-Quran.

Muhammad Izaan Sabaruddin, 23, yang berasal dari Ipoh, Perak menerima sijil Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dengan Multimedia (Kepujian) pada Majlis Konvokesyen USIM Ke-23 di Nilai di sini semalam.

Dia yang dilahirkan dengan masalah penglihatan pada mata kiri berkata, dia memilih program berkenaan kerana minatnya yang mendalam terhadap al-Quran dan bidang multimedia.

Menurutnya, walaupun menghadapi cabaran termasuk kesukaran menyiapkan tugasan menggunakan komputer dalam tempoh masa lama ia tidak sedikitpun menjadi penghalangnya

“Bagi saya, kekurangan penglihatan bukan penghalang untuk saya lebih mendalami ilmu al-Quran dan multimedia. Saya bersyukur kerana ahli keluarga, rakan sekelas dan pensyarah banyak membantu dalam tugasan,” katanya ketika ditemui.

Lebih menarik, Muhammad Izaan turut berkongsi pentas konvokesyen dengan kembarnya, Muhammad Izzat, 23, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam pada sidang yang sama.

Katanya, sepanjang pengajian, dia dan abang kembarnya akan mengulang kaji bersama serta membuat perbincangan subjek kekuatan masing-masing.

“Abang saya yang banyak menguatkan saya. Kalau tanpa dia, saya rasa saya tidak capai pada tahap ini.

“Tidak lupa juga kepada rakan-rakan yang banyak membantu daripada segi urusan pengangkutan ke kelas kerana kami berdua hanya berkongsi sebuah motosikal,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN