KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd. Nazifuddin perlu melunaskan tunggakan cukai pendapatan berjumlah melebihi RM1.7 bilion.
Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak rayuan mereka untuk menangguhkan pembayaran tersebut.
Dengan keputusan tersebut, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh meneruskan prosiding kebankrapan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan dan Exco Pemuda UMNO itu.
“Tiada pembayaran (tunggakan) telah dibuat, writ saman telah dikeluarkan dan penghakiman terus juga telah dikeluarkan oleh Mahkamah. Rayuan (berhubung penghakiman terus) juga telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
“Tiada lagi ruang (rayuan) berhubung penghakiman itu, Notis kebankrapan bagi RM1.7 bilion telah disempurnakan pada 5 April 2021,” kata Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwanya masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
Terdahulu, Hakim Suhendran memutuskan untuk menolak rayuan itu untuk menangguhkan prosiding kebankrapan itu selepas mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.
“Alasan (rayuan) kedua adalah terdapat rayuan yang belum selesai kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT). Semata-mata kerana wujud rayuan kepada SCIT tidak menghalang kewajipan untuk membayar termasuk dengan memberikan penangguhan.
“(Selain itu terdapat) dakwaan mengenai mudarat tidak dapat dipulihkan. Sama ada amaun yang dibayar adalah untuk tujuan politik dan oleh itu bukan pendapatan bercukai merupakan isu merit dan penilaian dalam bidang kuasa SCIT.
“Saya tidak nampak sebarang kerugian lain yang boleh mewajarkan penangguhan,” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian memerintah Najib dan Nazifuddin membayar kos berjumlah RM14,000.
Terdahulu, Hakim Suhendran ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan Mahkamah Persekutuan dalam kes terdahulu telah memutuskan bahawa merit hendaklah ditentukan oleh SCIT dan bukannya mahkamah yang hanya berperanan untuk memudahkan kutipan dan pemulihan cukai.
Tambah hakim berkenaan, ia selaras dengan konsep ‘bayar dahulu, pertikai kemudian’ Akta Cukai Pendapatan yang diamalkan di negara ini.
Pada Julai 2020, dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus bagi mendapatkan semula tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Nazifuddin, bagi tempoh antara 2011 dan 2017.
Najib dan Mohd. Nazifuddin kemudian merayu terhadap keputusan penghakiman terus itu namun rayuan tersebut gagal. – UTUSAN










