KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengalami kerugian sebanyak RM1 juta susulan penangguhan sistem parkir pintar sejak Julai lalu sekali gus menjejaskan potensi kutipan hasil yang sepatutnya mencecah lebih RM2.4 juta.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, untuk tempoh tiga tahun kebelakangan ini, MPK sepatutnya meraih pendapatan sekitar RM2.4 juta menerusi hasil kutipan caj parkir di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Katanya buat masa ini, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung status pelaksanaan semula sistem parkir pintar itu yang ditangguhkan selama enam bulan dan bakal berakhir pada akhir Disember depan.
“Untuk pelaksanaan sistem pintar ini, MPK pada mulanya menyasarkan sebanyak 10,000 petak parkir dan bagi peringkat awal, pelaksanaan melibatkan 6,000 petak terlebih dahulu di kawasan Kangar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Awal Julai lepas, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem parkir pintar di Perlis selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta bagi memberi ruang kepada penambahbaikan oleh syarikat pengendali.
Oleh itu, MPK diminta mengadakan rundingan semula bersama syarikat terlibat bertujuan memastikan pelaksanaannya benar-benar selesa dan tidak menyusahkan rakyat.
Sistem parkir pintar yang mula dikuatkuasakan secara rasmi pada 16 Jun lalu adalah merupakan inisiatif MPK ke arah pendigitalan dan kemajuan infrastruktur bandar di Perlis.
Affendi berkata, berdasarkan kajian dilakukan, pelaksanaan parkir pintar lebih signifikan dan berkesan.
“Ia berbanding penggunaan kupon khususnya dalam menuju ke arah bandar selamat, sejahtera dan pintar,” katanya.-UTUSAN.










