AMPANG JAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menganjurkan program Hari Tanpa Kenderaan Sempena Hari Kanak-Kanak Peringkat MPAJ 2025 hari ini bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan warganya.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, acara yang akan berlangsung di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah itu bermula dengan Jalan Santai sejauh tiga kilometer, melibatkan laluan utama di sekitar Pandan Indah yang akan ditutup sementara bagi memberi ruang kepada aktiviti berjalan kaki santai komuniti.
Katanya, program itu merupakan platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat, selain menyemarakkan semangat kekeluargaan.
“Jalan Santai sejauh tiga kilometer terbuka kepada semua peringkat umur dan tidak bersifat kompetitif. Ia bertujuan menggalakkan rakyat Ampang Jaya untuk bersenam sambil berseronok bersama keluarga,” katanya.
Katanya, selain berjalan, pelbagai aktiviti menarik disusun khas untuk kanak-kanak seperti sukaneka, pertandingan mewarna, persembahan pentas, serta permainan Supa Dupa dan Popcorn Cotton Candy yang menjadi tarikan utama.
Selain itu katanya, acara istimewa seperti “Cabaran Di Dapur Bersama Chef Cilik” turut diadakan, di mana peserta cilik akan menunjukkan bakat memasak secara langsung di hadapan penonton.
“Orang ramai juga bakal dihiburkan dengan pertunjukan cosplay, menampilkan pelbagai watak animasi dan adiwira popular, yang dijangka menarik perhatian kanak-kanak dan golongan muda.
“Program ini turut mengetengahkan aspek kesihatan dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, selain pengedaran susu percuma daripada Farm Fresh bagi menyokong amalan pemakanan sihat.
“Banyak gerai makanan, trak makanan dan jualan Rahmah turut dibuka sepanjang program berlangsung, menawarkan pelbagai pilihan pada harga berpatutan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, MPAJ menggalakkan orang ramai untuk hadir memberikan sokongan di samping mengambil bahagian dalam acara yang disediakan.
“Ini peluang untuk kita bersukan, bersosial dan menyemai semangat komuniti dalam suasana selamat dan menyeronokkan,” ujar Hasrolnizam. – UTUSAN










