JAKARTA: Kajian terbaharu mendedahkan udara di beberapa bandar besar Indonesia tercemar dengan mikroplastik, yang memberikan ancaman kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
Kajian tersebut dijalankan Yayasan Pemerhatian Ekologi dan Pemuliharaan Tanah Lembab (ECOTON) dengan kerjasama Persatuan Wartawan Alam Sekitar Indonesia (SIEJ) antara Mei dan Julai 2025, melibatkan kualiti udara 18 bandar di seluruh negara.
Kaedah kajian menggunakan pemantauan pemendapan udara pasif, dengan meletakkan piring petri kaca pada ketinggian satu hingga 1.5 meter, selaras dengan zon pernafasan manusia, di lokasi setiap bandar untuk mengumpul zarah udara.
Sampel kemudian dianalisis di bawah mikroskop untuk mengenal pasti jenis mikroplastik yang ada.
Kajian mendapati semua bandar yang dikaji, tercemar dengan mikroplastik pada tahap berbeza-beza.
Bandar Jakarta Pusat dan Jakarta Selatan mencatatkan kepekatan tertinggi, dengan 37 serta 30 zarah mikroplastik dikumpul dari setiap piring petri bersaiz sembilan sentimeter persegi dalam tempoh dua jam pengambilan sampel.
Ia diikuti Bandung di Jawa Barat (16 zarah), Semarang di Jawa Tengah (13), Kupang di Nusa Tenggara Timur (13), Denpasar di Bali (12) dan Surabaya di Jawa Timur (12).
Analisis sampel udara menunjukkan kebanyakan mikroplastik wujud sebagai serpihan kecil (53 peratus) dan gentian (46 peratus), dengan jumlah yang sangat kecil hadir sebagai filem nipis.
Penyelaras sukarelawan penyelidikan mikroplastik ECOTON, Sofi Azilan Aini berkata, sumber utama mikroplastik di udara adalah pembakaran sisa plastik yang meluas, menyumbang 57 peratus pencemaran.
“Pengurusan sisa yang lemah memaksa orang ramai membakar sampah, yang menyumbang secara ketara kepada pencemaran mikroplastik,” katanya dalam sidang media, baru-baru ini.
Walaupun undang-undang No. 18/2008 melarang pembakaran sampah terbuka, amalan ini masih sering berlaku kerana jumlah sampah yang banyak dan kekurangan tempat pelupusan.
ECOTON mendapati ia berlaku di 10 daripada 18 bandar yang dikaji, termasuk Jakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya.- AGENSI










