Mesyuarat Malaysia-Thailand akhir bulan, tumpu isu sempadan dan penyeludupan

Mesyuarat Malaysia-Thailand akhir bulan, tumpu isu sempadan dan penyeludupan

ANWAR IBRAHIM. Gambar: Jabatan Penerangan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand dijadual mengadakan mesyuarat antara agensi sempadan kedua-dua negara pada akhir bulan ini bagi memudahkan urusan rentas sempadan serta membanteras kegiatan penyeludupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu akan menghimpunkan agensi-agensi berkaitan daripada kedua-dua negara bagi memastikan laluan sah di sempadan lebih tersusun, sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi dan perdagangan rentas sempadan.

“Bulan ini, akhir bulan ini, mesyuarat dengan Thailand, agensi-agensi sempadan untuk memudahkan laluan, menghentikan penyeludupan, tetapi memudahkan laluan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh kerjasama serantau di bawah ASEAN, khususnya dalam aspek perdagangan, pelaburan, pelancongan dan keselamatan sempadan.

Menurutnya, Malaysia menyedari masih terdapat kelemahan dalam perdagangan intra-ASEAN, dan sebab itu tumpuan diberikan kepada langkah-langkah yang dapat memudahkan urusan perdagangan serta pelaburan antara negara anggota.

“Antara yang telah kita laksanakan ialah sistem pembayaran menggunakan kod QR antara Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Kemboja.

“Langkah ini memudahkan urusan pembayaran dan penggunaan mata wang tempatan di peringkat serantau,” katanya.

Anwar berkata, inisiatif seperti ASEAN Power Grid dan kerjasama digital menerusi ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) akan terus digerakkan bagi memperkukuh hubungan ekonomi rantau ini.

“Fokus kita ialah memastikan ASEAN menumpukan perhatian kepada kerjasama perdagangan, pelaburan, pelancongan serta mempermudah kegiatan di sempadan,” jelasnya.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia turut mahu menjadikan peranan ASEAN lebih berkesan dan seimbang, bukan hanya tertumpu kepada isu geopolitik, tetapi juga memberi penekanan kepada integrasi ekonomi.

“Kalau terlalu tertumpu kepada isu geopolitik, seperti Laut China Selatan atau hubungan kuasa besar, maka tumpuan terhadap perdagangan akan terabai.

“Sebab itu, tahun ini kita tekankan kerjasama ekonomi, kewangan dan keselamatan sempadan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan komited memastikan langkah-langkah yang diputuskan hasil mesyuarat dua hala dengan Thailand itu nanti akan memperkukuh keselamatan sempadan dan pada masa sama memudahkan kegiatan perdagangan serta pelancongan yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN