Malaysia sasar kelompok 20 negara terbaik Indeks Inovasi Global

Malaysia sasar kelompok 20 negara terbaik Indeks Inovasi Global

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyasarkan berada dalam kelompok 20 negara terbaik dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII), penanda aras penting bagi menilai tahap inovasi dan daya saing negara di peringkat dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dilakukan melalui tadbir urus dan pemantauan rentas agensi yang lebih berkesan.

Katanya, indeks itu menjadi panduan kepada kerajaan, industri dan pembuat dasar dalam merangka keputusan strategik untuk memastikan Malaysia muncul sebagai negara berteknologi tinggi yang berteraskan nilai Madani menjelang 2030.

“Mesyuarat ini antaranya bersetuju melaksanakan langkah strategik bagi menempatkan Malaysia dalam kalangan 20 negara terbaik dunia dalam GII, melalui tadbir urus dan pemantauan rentas agensi yang lebih berkesan.

“Kami juga meneliti penambahbaikan dalam pembiayaan dana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) agar penyampaian lebih cekap dan berimpak tinggi. Kerjasama awam–swasta dikenal pasti sebagai pemangkin utama, selaras dengan Dasar STI Negara 2021–2030 yang berhasrat mengubah Malaysia menjadi negara pembangun teknologi,” katanya dalam Facebook beliau hari ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara.

Anwar berkata, setiap usaha penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D) negara perlu diselaraskan secara lebih sistematik dan berpaksikan misi nasional agar tidak bergerak secara bersendirian, sekali gus memastikan hasil inovasi benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh masa depan negara.

Katanya, penyelarasan itu penting bagi memastikan inovasi yang dihasilkan mempunyai nilai tambah, menyelesaikan masalah rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi berteknologi tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN