SHAH ALAM: Kontinjen terakhir Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang terlibat dengan misi pengaman di Selatan Lubnan sejak November tahun lalu selamat tiba di tanah air, petang tadi.
Seramai 209 anggota yang terdiri dari kontinjen keempat itu pulang selepas setahun berkhidmat di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) beroperasi di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin, di selatan Lubnan.
Ketibaan kontinjen pada 5.30 petang di Pangkalan Udara Subang bersama tujuh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar, Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Datuk Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan serta Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
Mohd. Nizam Jaffar berkata, pasukan pengaman itu menunjukkan komitmen tinggi sepanjang berdepan cabaran konflik Israel-Gaza sejak Oktober 2023.
“Insiden pada 7 November 2024 yang mencederakan enam anggota ketika pergerakan dari Beirut ke Kem Ma’rakah mengingatkan kita bahawa tugas sebagai pasukan pengaman bukanlah mudah,” katanya pada Majlis Penerimaan Kumpulan Keempat MALBATT 850-12 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Menurutnya, penglibatan konsisten Malaysia dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus mencerminkan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai angkatan yang dipercayai dan komited terhadap keamanan global.
“Usaha itu bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa, malah memperkukuh keupayaan ATM melalui pengalaman operasi sebenar di kawasan konflik,” ujarnya. – UTUSAN










