KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dijangka akan membentang garis panduan berkaitan aktiviti mendulang emas kepada penduduk di negeri ini dua minggu lagi semasa Mesyuarat Mingguan Exco.
Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ketika ini Pejabat Tanah dan Gajian (PTG) negeri dalam proses menyiapkan garisan panduan tersebut yang akan dibentangkan semasa Mesyuarat Mingguan Exco sebelum diumumkan kepada rakyat.
Katanya, tindakan itu bukan untuk menyusahkan rakyat namun bertujuan menjaga keselamatan pendulang dan kelestarian alam sekitar bagi memastikan semuanya terkawal.
“Saya tidak umumkan apa syarat yang akan dimasukan dalam garis panduan mendulang emas. Hal ini kerana bimbangi akan wujud percanggah jika apa yang saya umumkan itu tidak tepat dengan syarat-syarat telah ditetapkan.
“Kerajaan negari mahu aktiviti dikawal selia supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan pam mudah alih untuk mendapatkan hasil. Keadah itu sudah dikira industri, jadi kita akan benarkan. Kalau bentuk industri, mereka perlu mohon lesen melombong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, ada pihak yang tersalah tafsir kenyataan sehingga mengatakan kerajaan negeri menggunakan pendekatan ‘umum dulu, baru kaji’.
“Saya sebut kerajaan bercadang. Kerajaan akan buat syarat. Maknanya kita belum laksana lagi.
“Kita sedang teliti syarat, garis panduan dan perkara lain sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Exco yang akan datang,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri bercadang menjadikan aktiviti mendulang emas sebagai produk pelancongan baharu di Kelantan.
“Cara mendulang emas juga boleh dijadikan satu industri pelancongan di negeri ini,” katanya.
Utusan Malaysia pada 10 November lalu melaporkan, Kerajaan Kelantan akan membenarkan rakyat di negeri ini melombong emas menggunakan kaedah mendulang.
Mohamed Fadzli berkata, pihaknya akan mengeluarkan lesen mengikut syarat-syarat tertentu sebagai rekod.
Katanya, langkah itu bertujuan menjaga keselamatan rakyat yang terlibat dalam aktiviti berkenaan.-UTUSAN










