Kerajaan diperintah bayar RM1.1 juta kepada keluarga model

Kerajaan diperintah bayar RM1.1 juta serta merta kepada keluarga model

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM1.1 juta kepada keluar­ga mendiang model Belanda, Ivana Esther Robert Smit.

Hakim, Roz Mawar Rozain selepas menolak permohonan itu memerintahkan kerajaan me­masukkan jumlah berkenaan bersama faedah terkumpul ke dalam sebuah akaun amanah selewat-lewatnya semalam.

Mahkamah turut meme­rin­­tah­kan kerajaan memba­yar kos RM8,000 kepada keluarga ­mangsa.

Dalam kenyataan semalam, peguam keluarga mendiang Ivana, Datuk S. N. Nair, menyuarakan rasa kesal terhadap kegagalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematuhi arahan Mahkamah Tinggi yang menga­rahkan siasatan berhubung kematian wanita itu dibuka semula.

Katanya, Mahkamah Tinggi pada 29 Julai lalu telah memutuskan PDRM cuai dan me­ngarahkan agar siasatan dibuka semula serta laporan kemajuan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan bermula tarikh penghakiman.

“Namun, sehingga kini tiada siasatan dijalankan dan arahan mahkamah telah diabaikan. Tindakan ini bukan sahaja menghina mahkama malah menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang.

“Malah, selepas lapan tahun, keluarga Smit masih menunggu tanpa sebarang jawapan. Tindakan pihak berkuasa ini mencerminkan sikap dan tingkah laku polis yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab sebagaimana yang telah ditunjukkan dalam kes-kes seumpamanya seperti kes Pastor Koh, Amri Che Mat dan Indira Gandhi,” katanya.

Pada Julai lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan kesemua defendan membayar RM1.1 juta, yang merangkumi RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada bapa mendiang, Hendrikus Verstappen.

Kesemua defendan juga diperintahkan untuk membayar kos RM100,000.

Hakim Roz Mawar berkata, kegagalan PDRM mematuhi perintah Mahkamah Tinggi pada 2019 adalah pelanggaran jelas terhadap kewajipan statutori dan boleh membawa kepada prosi­ding penghinaan mahkamah.

Sehubungan itu, beliau turut memerintahkan PDRM menyiasat semula kematian mendiang Ivana yang ketika kejadian berusia 19 tahun.

Pada 22 November 2019, Mah­kamah Tinggi mengenepikan dapatan Koroner dan mengarahkan AGC meminta polis menjalankan siasatan terhadap punca sebenar kematian model tersebut.

Dalam penghakiman itu, Hakim Collin Lawrence Seque­rah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa kematian Ivana disebabkan oleh ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan menyatakan bahawa penyiasatan yang dijalankan pada waktu itu tidak mencukupi oleh pihak berkuasa.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×