PETALING JAYA: Tindakan melukakan diri atas alasan meredakan tekanan dalam kalangan remaja makin membimbangkan apabila perbuatan ekstrem itu tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya berisiko menyebabkan kecederaan serius.
Perbuatan itu dirujuk sebagai barcode kerana pelaku akan menggunakan objek tajam seperti besi, pengasah pensil, jarum dan sebagainya untuk mengelar anggota badan secara berulang hingga cedera.
Walaupun alasannya adalah untuk mengatasi tekanan, perbuatan tersebut tidak memberi apa-apa solusi sebaliknya memberikan rasa ketagihan untuk terus mengulangi di pelbagai bahagian aggota tubuh yang lain.
Tinjauan Utusan Malaysia di media sosial mendapati, ramai remaja yang ‘ketagih’ mencederakan diri disebabkan oleh pelbagai masalah termasuk isu keluarga, percintaan, akademik dan sebagainya.
Seorang mahasiswi yang hanya ingin dikenali sebagai Aina, 23, mengakui mula melakukan perbuatan itu sejak di tingkatan empat dengan menggunakan pisau sebagai alat untuk menoreh kulit di bahagian tangan setiap kali tertekan.
“Saya buat masa rasa sedih dan marah sangat. Bila duduk seorang diri dan terlalu melayan fikiran saya akan mula menoreh tangan. Selain tangan, saya juga pernah lakukannya di bahagian paha dan perut.
“Kadang-kadang saya rasa kosong. Jadi saya toreh badan saya sebab mahu rasa sesuatu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, walaupun tindakan itu tidak memberi sebarang rasa lega, dia melakukannya kerana ingin ‘merasakan sesuatu’ apabila fikiran dan emosinya berada dalam keadaan hampa.
“Puas tu tidak, lega pun tidak, cuma rasa macam akhirnya boleh rasa sesuatu. Tapi lepas tu mesti saya akan rasa menyesal dan bersalah.
“Saya tidak pernah berkongsi perasaan dengan keluarga atau rakan-rakan kerana bimbang mereka tidak akan faham saya, jadi saya simpan sahaja rahsia ini sendiri. Pernah cuba berhenti, tapi susah sangat ibarat macam orang ketagih rokok,” katanya.
Seorang lagi wanita berusia 20 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Carmilla turut berkongsi pengalamannya menoreh tangan ketika berusia 15 tahun akibat tekanan keluarga.
“Disebabkan saya tertekan ketika itu, saya cuba mencari sesuatu untuk melepaskan tekanan.
“Kadang-kadang saya rasa puas dan lega kerana tekanan itu dapat dilepaskan melalui cara tersebut.
“Selepas menoreh, saya akan termenung dan menyesal. Sekarang saya sudah tidak buat lagi dan insya-Allah tidak akan ulanginya,” katanya.
Mengulas perkara itu, Pakar Psikologi, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, fenomena barcode dalam kalangan remaja bukan sekadar trend media sosial, sebaliknya menandakan wujudnya tekanan emosi yang tidak dapat diluahkan.
“Remaja yang melukakan diri sebenarnya sedang cuba mengawal emosi marah, sedih, kecewa dan rasa tidak dihargai. Ia merupakan mekanisme untuk melepaskan tekanan apabila mereka tidak tahu cara lain untuk menanganinya.
“Antara punca utama perbuatan itu termasuk konflik keluarga, pengabaian emosi, penceraian, tekanan akademik, buli siber, buli fizikal serta rasa kesunyian melampau. Dalam beberapa kes, remaja juga terikut-ikut dengan rakan sebaya, khususnya di sekolah berasrama.
“Walaupun ada yang mulakan sebab ikut trend, perbuatan ini bukanlah gaya hidup, tetapi isyarat kepada masalah psikologi yang lebih mendalam seperti kemurungan (depression), keresahan (anxiety), gangguan personaliti dan trauma masa lalu,” katanya.
Katanya, apabila seseorang mencederakan diri, otak akan mengeluarkan bahan kimia yang dikenali sebagai endorfin, yang memberikan kelegaan sementara, namun selepas itu remaja akan mula berasa bersalah, malu dan marah terhadap diri sendiri.
“Keadaan ini mewujudkan kitaran emosi negatif yang berulang-ulang. Setiap kali mereka berdepan tekanan, mereka akan mencederakan diri untuk mencari kelegaan sementara dan lama-kelamaan tindakan itu menjadi ketagihan kerana otak mula mengaitkan rasa lega dengan kesakitan,” katanya.
Perbuatan mencederakan diri memberi kesan jangka panjang terhadap emosi dan fizikal remaja.
“Daripada segi emosi, mereka akan mengalami kemurungan, keresahan, trauma dan harga diri yang rendah. Dari segi fizikal pula, luka dan parut yang ditinggalkan boleh menjadi kekal dan menjejaskan keyakinan diri,” katanya.
Antara rawatan dan terapi profesional boleh dilalui Cognitive Behavioural Therapy (CBT) dan Dialectical Behaviour Therapy (DBT) bagi membantu mereka mengawal emosi dan membina semula kesejahteraan diri. – UTUSAN










