Kejayaan bukan hanya bergantung pada kelulusan akademik: Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Kejayaan bukan hanya bergantung pada kelulusan akademik: Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan mengikuti sidang satu Istiadat Konvokesyen ke-20 Unimap di Dewan Tuanku Canselor, Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kejayaan tidak hanya bergantung kepada kelulusan akademik semata-mata, namun turut melibatkan kebijaksanaan seseorang dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran dalam era dunia tanpa batasan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, negara memerlukan sarjana yang bukan sekadar mengkaji teori di makmal, tetapi mampu berfikir secara strategik serta mempengaruhi dasar, masyarakat dan industri.

Titah baginda merangkap Canselor Unimap, hasil penyelidikan yang dilaksanakan itu juga seharusnya membawa pembaharuan bermanfaat kepada komuniti global.

“Oleh itu, ilmu yang diperoleh di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) harus dimanfaatkan untuk membina masa depan yang lebih baik demi kemajuan diri, industri, negara dan seluruh manusia,” titah baginda bersempena Istiadat Konvokesyen Ke-20 Unimap di Dewan Tuanku Canselor, Pauh Putra, di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Istiadat konvokesyen kali ini juga bersejarah berikutan Tuanku Syed Faizuddin berkenan melantik seorang lagi Pro Canselor Unimap iaitu anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kemajuan dunia pada masa kini tidak seharusnya mengorbankan nilai bangsa dalam mempertahankan aspirasi dunia, bahasa, budaya dan maruah asal-usul.

“Siswazah Unimap perlu menjadi contoh rakyat Malaysia yang berilmu, berdisiplin dan beradab di samping mampu bersaing di peringkat dunia tanpa meninggalkan adat serta nilai ketimuran.
Siswazah yang berjaya adalah mereka yang mampu menghubungkan teori dengan realiti dan mengaplikasikan ilmu untuk manfaat masyarakat,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN