KUANTAN: Di pentas yang berbalut cahaya dan bayang, teater Pelanduk Terakhir tampil mengusik sanubari menerusi naskhah yang mengangkat perjuangan seorang seniman mempertahan warisan tarian tradisi Pahang daripada dilupakan zaman dan disalah tafsir ramai.
Karya ke-15 arahan Suezanna Mohd. Suboh atau lebih dikenali sebagai Suezanna M.S., pengarah prolifik teater Pahang itu berjaya menyatukan keindahan seni, nilai kemanusiaan dan kekuatan jiwa dalam persembahan yang sarat makna.
Teater ini mengisahkan Mahdi, seorang penari Tarian Pelanduk yang berjuang mempertahan warisan seni tersebut agar tidak pupus ditelan arus moden, meskipun berdepan tentangan masyarakat yang menganggapnya usang dan penuh tahayul.
Tarian Pelanduk, satu tarian rakyat lama yang semakin pudar di tanah Pahang, digambarkan hidup kembali melalui naskhah ini, menuntut bukan sekadar gerak tari tetapi roh, semangat dan pengorbanan seorang insan seni.
Watak Mahdi dihidupkan dengan penuh tenaga oleh Datuk Fizz Fairuz yang berjaya menzahirkan emosi dan dilema seorang seniman yang setia pada seni walau dipinggirkan zaman.
Turut membarisi pentas ialah Liza Abdullah yang menjiwai dua watak serentak Ana dan Gayah masing-masing mewakili dua sisi wanita: kekuatan dan kelembutan. Liza membawakan lakonan sarat emosi, menjadikan setiap babak bersama Mahdi bergetar dengan kasih, penyesalan dan penerimaan.
Sementara itu, Datuk Razak Ahmad memegang watak Zaman, mentor dan pembimbing rohani yang menjadi tunjang moral kepada generasi muda seni.
Pelakon berpengalaman, Rina Nawi, pula menzahirkan watak Sabariah, seorang ibu yang keras pendirian namun akhirnya akur kepada keindahan seni yang cuba dihidupkan semula oleh Mahdi dan generasi muda. Sabariah yang awalnya menolak seni tradisi akhirnya menjadi lambang penerimaan dan kasih yang memulihkan luka.
Kekuatan Pelanduk Terakhir turut terserlah melalui penampilan istimewa Kumpulan Istana Tari Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Azizah, yang mempersembahkan segmen Tarian Pelanduk dengan penuh disiplin dan keanggunan. Persembahan mereka menghidupkan suasana tradisi dan membawa penonton menyelami keindahan gerak tari asli Pahang.
Gabungan mantap keempat-empat pelakon utama bersama elemen tari tradisi itu menghasilkan tenaga persembahan yang padu, menjadikan Pelanduk Terakhir bukan sekadar tontonan, tetapi pengalaman batin yang menggugah perasaan.
Suezanna berkata, naskhah ini lahir daripada kecintaannya terhadap teater dan warisan Pahang.
“Pelanduk Terakhir bukan sekadar kisah seorang manusia yang dianggap berbeza tetapi tentang keberanian menerima diri dan mempertahan nilai kasih dalam dunia yang semakin hilang arah,” katanya.
Dia ditemui pada majlis pementasan teater tersebut di Auditorium Sudirman, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) melalui Program Penyemarakan Karya Teater 2025 di sini.
Suezanna, yang sebelum ini terkenal dengan karya seperti Bukan Cinta Biasa, Anak Adam dan Lorong 2/90, menyifatkan Pelanduk Terakhir sebagai karya paling peribadi dalam perjalanan seninya.
“Kami tampil di pentas Universiti Teknologi Mara Jengka dan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur namun versi Pahang ini lebih matang dan lebih dekat dengan jiwa masyarakat negeri sendiri,” ujarnya.-UTUSAN.

								
											








