ARAU: Jenazah wartawan yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai membuat liputan banjir selamat dikebumikan di
Tanah Perkuburan Kepala 20, Tambun Tulang, di sini kira-kira pukul 5.30 petang ini.
Terdahulu jenazah Allahyaram Mohamad Asri Shafii 49, dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF dan proses pengurusan jenayah dijalankan di Masjid Ibnu Tamiyyah, Kampung Tambun Tulang, di sini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan mencemar duli bagi menziarahi di masjid berkenaan.
Baginda turut menzahirkan rasa duka cita dan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga Allahyarham susulan kejadian tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin turut mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan keluarga diberikan ketabahan, kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat sukar ini.
Allahyarham Asry pernah bertugas sebagai wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebelum menjadi wakil Astro Awani di Perlis. Allahyarham turut meninggalkan seorang isteri bersama enam orang anak.-UTUSAN










